FOKUS BERNAMA

Cafe Salim Tawar Menu Sarapan 'Kayangan' Harga Mampu Milik

19/02/2024 09:25 AM
Daripada Muhammad Basir Roslan

Hampir setiap pagi, terutama pada hujung minggu, deretan motosikal termasuk yang berkuasa tinggi memenuhi ruang letak kenderaan di depan sebuah kafe ala warung di Jalan Paip, Meru di sini.

Di setiap meja di dalam kafe itu pula ada pelanggan yang duduk menikmati hidangan pagi, sementara di luar, barisan mereka yang sabar menunggu giliran untuk masuk ke dalam kafe semakin panjang - pemandangan yang menarik perhatian penulis untuk turut mencuba makanan di Cafe Salim ini.

Menawarkan kelainan, kafe yang dioperasikan oleh bekas jurumasak peribadi kerabat diraja Arab Saudi Almarhum Putera Turki bin Abdul Aziz itu menghidangkan menu ala Barat selain makanan tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak.

pic-2

Pasti mahal, mungkin itu tanggapan ramai. Namun jauh panggang dari api, kerana untuk menikmati set hidangan seperti Classic Breakfast yang merangkumi telur, kentang panggang, sosej bakar, tomato panggang, salad, daging lembu, kacang panggang dan roti bakar, pelanggan hanya perlu membayar RM18.

 “Di sini kita menyajikan set makanan mewah ala Barat namun pada harga rendah. Hanya dengan kira-kira RM100, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis makanan bersama ahli keluarga," kata pemilik kafe Salim Bahari kepada Bernama.

 

KONSEP SANTAI, SERVIS PANTAS

Mengangkat konsep santai dengan mengetengahkan tema hipster, kafe itu dihiasi pelbagai model motosikal Harley-Davidson mini dan bahagian kereta Volkswagen Beetle berwarna kuning. Dinding pula sarat dengan pelekat persatuan motosikal berkuasa tinggi dan kereta.

Bercerita lanjut, Salim, 64,  berkata walaupun 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel,  kualiti makanan yang dihidangkan beliau adalah setanding.

“Saya dapat tawarkan harga yang kompetitif dengan kualiti setanding hidangan hotel kerana saya dapatkan bahan mentah terus daripada pembekal di sekitar Klang, sekali gus mengurangkan kos.

“Atas sebab itu jugalah saya dapat pilih sendiri bahan mentah, dan sudah tentu saya pilih yang terbaik untuk dihidangkan kepada pelanggan,” katanya yang mempunyai pengalaman kira-kira 40 tahun sebagai cef termasuk di hotel terkenal di seluruh negara.

Selain itu, Salim yang berkebolehan memasak pelbagai jenis makanan, melatih sendiri kesemua 12 orang jurumasak di kafenya.

pic-3

“Masing-masing dilatih dengan kemahiran tertentu. Contohnya, seorang cef pakar memasak telur dadar, manakala yang lain pula pakar menyediakan roti bakar dan memasak spageti.

“Melalui kaedah ini, kita boleh memaksimumkan kecekapan penyediaan makanan kerana semua cef ada tugas masing-masing. Makanan siap dengan cepat, pelanggan puas hati sebab sedap dan dapat makan dengan segera, seterusnya semua orang gembira,” katanya.

Beliau membuka kafe itu pada Ogos 2022, dan mengaku pada peringkat awal agak bimbang tidak mendapat sambutan kerana menu sarapan ala Barat jarang diketengahkan oleh pengusaha kafe tempatan.

“Tapi alhamdulillah, kuasa tular media sosial membuatkan kafe saya menjadi tumpuan pelanggan yang datang dari segenap pelosok negara dengan ada yang berkonvoi motosikal,” ujar beliau.

Menurut beliau, pada hari biasa, lazimnya kafe beliau menerima secara purata 400 pelanggan dan meningkat kepada 700 orang pada hujung minggu.

 

PENGALAMAN LUAS BIDANG KULINARI

Mengimbas kembali sejarah pembabitannya dalam bidang kulinari, Salim berkata selepas menamatkan pengajian peringkat sijil dalam bidang pengurusan perkhidmatan makanan di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) pada 1980, beliau bekerja sebagai pembantu dapur di Hotel Hyatt Regency Kuantan, Pahang. 

Beliau kemudian mengikuti program perantisan di Hotel Hilton Kuala Lumpur selama tiga tahun bermula 1983.

pic-4

"Menerusi program inilah saya mempelajari selok-belok dan cabaran di dapur hotel serta perlu memahirkan diri melalui latihan teori dan praktikal membabitkan penyediaan makanan pelbagai kategori, antaranya fine dining, masakan Melayu, Cina, pastri serta coffee house,” kongsinya.

Menurut Salim, beliau kemudian dapat bekerja sebagai cef peribadi Almarhum Putera Turki dari 1987 hingga 1989 di Jeddah, Arab Saudi.

“Saya memohon menerusi Kedutaan Arab Saudi di sini dan berjaya. Tempoh tiga tahun itu memberikan saya pengalaman yang sangat bernilai serta mematangkan kerjaya saya. 

 “Ketika di sana, antara tugas utama saya ialah menyediakan makanan untuk ahli kerabat diraja serta memasak bagi setiap majlis untuk tetamu kehormat yang dijemput oleh pihak istana," katanya.

Pulang ke Malaysia, anak jati Kedah ini bekerja di beberapa buah hotel terkemuka, antaranya  Batu Boutique Resort di Johor, The Datai Langkawi, Kedah dan hotel terakhir beliau berkhidmat ialah Hotel Mulu Marriott Resort & Spa di Sarawak sebagai Cef Eksekutif.

Bagi meningkatkan kemahiran, Salim mengikuti pelbagai kursus di beberapa hotel terkemuka di luar negara.

Dari situ juga beliau belajar aspek pengurusan restoran hotel luar negara, yang menurutnya sangat berbeza dengan pengurusan hotel di Malaysia.

“Di luar negara, bahan mentah termasuk buah-buahan dan herba (untuk masakan Barat) mudah diperolehi kerana cuaca lebih sejuk berbanding di negara ini yang kebanyakannya perlu dimport, sekali gus menjadi cabaran kepada pengusaha hotel tempatan,” ujarnya.

pic-5

Sepanjang kariernya dalam perhotelan, beliau pernah memenangi beberapa anugerah kulinari, antaranya pingat perak bagi kategori Plated Appetizer anjuran Foodex/Hotelex Malaysia, pingat gangsa bagi dua kategori Butter Sculpture dan Buffet Platter anjuran Salon Gastronomique Malaysia, serta pingat gangsa bagi kategori 5 Course Set Dinner dan Western Cuisine yang dianjurkan oleh Food and Hotel Asia Singapore.

 “Kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil sokongan isteri, Sahlawati Norman dan anak-anak. Bagaimanapun daripada empat orang anak, hanya anak kedua sahaja yang mengikuti jejak saya,” katanya yang merupakan ahli kehormat beberapa persatuan kulinari, antaranya Confrerie De La Chaine De Rotisseurs Baillage De Malaisie dan Professional Culinaire Association Malaysia.

Beroperasi Selasa hingga Ahad, bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari,  Cafe Salim menawarkan pelbagai hidangan sarapan ala Barat berharga serendah RM9, antaranya  Chunky Mushroom Soup, Grilled Chicken Chop dan Seafood Chowder (masing-masing RM19), selain turut menghidangkan menu tempatan seperti nasi lemak rendang kerang (RM9), laksa Sarawak dan mi kolok goreng (masing-masing RM12) serta kuetiau goreng (RM8). 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan