SUKAN

Khavish, Kevin Muncul Pendahulu Bersama , Gavin Gagal Lepasi Had Kelayakan

17/02/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- V. Khavish Varman meneruskan cabaran negara apabila muncul pendahulu bersama dengan pemain Australia, Kevin Yuan dengan catatan 13 bawah par 129 pukulan selepas pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2024 di The Mines Resort & Golf Club di Seri kembangan, dekat sini, hari ini.

Khavish, 23, merakamkan enam bawah par 65 manakala Kevin mencatatkan tujuh bawah par 64 pada saingan hari kedua menyaksikan pemain profesional terbaik negara, Gavin Kyle Green gagal melepasi had kelayakan 137 pukulan dengan lima atas par 76 untuk mengumpul jumlah dua pusingan dua bawah par 140.

Khavish gembira dengan persembahan mengumpul enam birdie, masing-masing di sembilan lubang pertama dan kedua.

“Saingan bermula mengikut rancangan...bukan pusingan yang paling mudah kerana sedkiti putaran angin hari ini dan bergelut mengumpul mata. Saya tetap bersabar dan cuba melakukan birdie satu setiap tiga lubang dan saya melakukannya dengan tepat. Jadi, saya cukup berpuas hati dengan diri sendiri.

“Rasanya hebat untuk bersaing untuk gelaran...sudah tentu menjadi rakyat Malaysia dan memenangi kejohanan di laman sendiri  seperti memenangi Major bagi saya. Jadi, saya sangat teruja untuk hujung minggu ini,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, saingan masih jauh terutama kelompok besar di belakang pendahulu mempunyai peluang  untuk memintas di penghujung saingan.

Pemain Amerika Syarikat, John Catlin hanya ketinggalan satu pukulan dengan pendahulu apabila melakarkan enam bawah par 65 pada dua pusingan berturut-turut untuk mengumpul jumlah 12 bawah  par 130.

Empat pemain ketinggalan dua pukulan di belakang pada 11 bawah 131 manakala empat lagi, termasuk pemain negara, Ervin Chang dan pendahulu bersama semalaman Jazz Janewattananond dari Thailand, hanya ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu pada 10 bawah par 132.

Kelompok utama begitu ketat sehingga enam pemain termasuk pendahulu bersama semalaman Veer Ahlawat dari India, hanya empat pukulan di belakang pada sembilan bawah par 133 manakala 11 yang lain terikat pada lapan bawah par 134.

Salah satu kejutan pada hari ini, pastinya Ervin yang mencatatkan sembilan bawah par 62 termasuk dua eagle pada lubang ke-11 dan 15 serta enam birdie dan bogey tunggal untuk berkongsi kedudukan di tempat ketujuh.

“Salah satu fokus utama saya hari ini adalah untuk melakukan banyak pukulan tepat ke kawasan lubang sebelum berpeluang mencipta birdie dan pendekatan ini berhasil.

“Esok, matlamat saya adalah untuk mengekalkan momentum dan terus mencari peluang melakukan penyudahan dengan baik,” kata Ervin.

Had kelayakan ditetapkan pada lima bawah par 137 dengan 69 daripada 150 pemain berjaya meneruskan cabaran di dua pusingan terakhir termasuk wakil negara Jeremiah Kim Leun Kwang yang berkongsi kedudukan ke-50  dengan jumlah catatan lima bawah par 137 pukulan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan