EKONOMI

ABAC KOMITED TANGANI TEKANAN PEMECAHAN EKONOMI - PENGERUSI

16/02/2024 10:30 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik atau APEC (ABAC) komited dalam memainkan peranannya dalam menangani tekanan pemecahan ekonomi yang kian ketara.

Pengerusi ABAC 2024 Julia Torreblanca berkata Unit Sokongan Dasar APEC menunjukkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau itu menyusut (-9 peratus pada 2022) walaupun blok itu memaparkan prestasi lebih baik berbanding purata global dari segi kemudahan pelaburan. 

“Penurunan aliran masuk FDI bagi APEC dengan persekitaran pemulihan pasca Covid-19 adalah sesuatu yang membimbangkan. Oleh itu, tindakan segera diperlukan bagi mengembalikan kita ke landasan tepat untuk meraih pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam sidang media pada akhir mesyuarat pertama ABAC (ABAC 1) bagi 2024 di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Torreblanca juga menyifatkan penurunan FDI itu berkemungkinan disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan serantau.

Sehubungan itu, bagi menangani isu ekonomi, antara keutamaan ABAC bagi 2024 adalah mengukuhkan rangka ekonomi rantau ini menerusi kerjasama erat dengan pegawai APEC lain dalam mencatat kemajuan ketara ke arah Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).

“Pada akhirnya, FTAAP sepatutnya mewujudkan perjanjian perdagangan berkualiti yang terbaik di rantau ini. Kita perlu berusaha ke arah itu sekarang menerusi inisiatif-inisiatif praktikal seperti pertautan perdagangan digital serta kecerdasan buatan yang bertanggungjawab, rantaian bekalan, akses wanita mendapatkan pembiayaan serta mekanisme perdagangan bagi menangani perubahan iklim," katanya.

Keutamaan lain ABAC bagi 2024 adalah membangunkan idea-idea praktikal mengenai kaedah untuk menyokong peralihan daripada ekonomi tidak rasmi kepada yang berbentuk formal.

"Ini satu cabaran sebenar bagi kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun di rantau ini, sekali gus turut mengekang keupayaan dalam memenuhi potensi ekonomi serta menyediakan peluang lebih baik untuk rakyat. Kita mahu mewujudkan pendekatan pragmatik yang dapat membantu anjakan itu,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat ABAC 1 berkenaan turut membangkitkan kebimbangan mengenai tekanan pemecahan ekonomi yang kian ketara serta risiko terhadap pertumbuhan, aspek inklusif dan usaha berkaitan perubahan iklim. 

ABAC dijadual mengadakan tiga lagi mesyuarat pada tahun ini, termasuk pada akhir April ini di Hong Kong yang sejajar dengan usaha merangka cadangan untuk dibentangkan kepada pemimpin APEC dalam sidang kemuncak November depan.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula menyifatkan APEC berperanan penting dalam usaha galakan pasaran terbuka dan kerjasama ekonomi, khususnya dalam persekitaran pemecahan ekonomi global.

“ABAC menjadi komponen penting dalam menyokong usaha tersebut. Dalam mengharungi dunia yang sarat dengan ketidaktentuan ini, inisiatif pelbagai hala seperti APEC sememangnya penting bagi membolehkan usaha secara kolektif dan berterusan dapat diambil.

“Sehubungan itu, saya gembira apabila mendapat tahu ABAC Peru akan menumpukan rancangan kerja tahun ini kepada aspek integrasi, pembangunan insan serta kemampanan,” kata beliau merujuk kepada Peru selaku Pengerusi APEC 2024.

ABAC turut mengeluarkan satu kenyataan mengenai Persidangan Menteri-Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan datang (MC13) dengan menggesa menteri-menteri perdagangan APEC untuk memacu keputusan mesyuarat yang memberi impak atau berwawasan, termasuk mengembalikan fungsi penuh sistem penyelesaian pertikaian dan larangan kekal ke atas tarif bagi penghantaran elektronik.

“Wujud kemungkinan Persidangan Peringkat Menteri WTO ke-13 di Abu Dhabi memberi hasil yang mengecewakan. Oleh itu, kita menggesa menteri-menteri APEC yang bertanggungjawab dalam soal perdagangan untuk berusaha mendapatkan moratorium kekal mengenai duti kastam bagi penghantaran elektronik.

“Aspek lain adalah untuk segera mewujudkan semula badan rayuan dan perjanjian bagi pembaharuan sistem penyelesaian pertikaian WTO dan meneruskan transformasi bermakna dalam bidang pertanian serta perikanan," kata ABAC.

Pada masa sama, ABAC juga meminta menteri-menteri APEC untuk menyokong penuh Pemudahcara Pelaburan bagi Perjanjian Pembangunan serta integrasinya ke dalam rangka kerja undang-undang WTO; memperjuang keputusan penting mengenai e-dagang tahun ini serta menyokong inisiatif yang membolehkan perdagangan secara berkesan dalam menangani kelestarian.

“Tiba masanya bagi negara-negara APEC untuk bertindak lebih tegas bagi menyokong keputusan yang lebih bermakna di MC13.

“Secara bersama, kita boleh melonjakkan satu persekitaran perdagangan yang tidak hanya memupuk pertumbuhan ekonomi, tetapi lebih responsif terhadap permintaan masyarakat dan bumi. Malah, ini seharusnya menjadi legasi kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan