KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berhasrat untuk melahirkan pemimpin perniagaan, profesional dan sosial dalam kalangan bumiputera sebagai usaha menangani pelbagai isu yang dihadapi masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ibrahim Sani berkata matlamat utama pihaknya adalah untuk menyelesaikan isu besar iaitu berkaitan penyertaan dan penguasaan ekonomi yang masih rendah dalam kalangan golongan itu selain mengubah pemikiran lapuk kepada menumpukan terhadap penciptaan nilai.
“Satu-satunya cara untuk menangani masalah ini ialah dengan melatih semula dan meningkatkan kemahiran baharu bakat bumiputera bagi memenuhi keperluan sektor baharu dan lama.
“Peralihan tenaga, penyimpanan tenaga dan sekuriti makanan antara sektor baru muncul, manakala kewangan dan perkhidmatan perniagaan merupakan sektor lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Yayasan Peneraju ditubuhkan kerajaan untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan.
Menurut Ibrahim agensi berkenaan juga mahu meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat-bakat bumiputera sejajar dengan usaha menaik taraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), profesional, teknologi dan spesialis.
Yayasan Peneraju, katanya pada masa ini sedang melaksanakan proses pendigitalan secara komprehensif antaranya dengan memanfaatkan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan analitik serta membabitkan bekas penerima faedah dengan menjadikan mereka sebagai alumni Yayasan Peneraju.
Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli akan melancarkan penjenamaan semula Yayasan Peneraju pada 18 April depan yang melambangkan hala tuju untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Rafizi turut dijadual menyertai sesi dialog bersama penerima manfaat Yayasan Peneraju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial