FOKUS BERNAMA

Bakal Bergelar Doktor Falsafah, Nusratina Tidak Malu Jual Kuih Karas

14/02/2024 12:09 PM
Daripada Balkish Awang

Setinggi mana pun kedudukan kita, jangan sesekali lupa untuk memandang ke bawah kerana dari situ langkah kita bermula dan ini menjadi pegangan Nusratina Shaari, 35, yang bakal bergelar doktor falsafah (PhD).

Jika sesetengah individu menjadikan tahap pencapaian ilmu sebagai pengukur utama kejayaan hidup, namun bagi anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini, ia sama sekali tidak menyekat kegigihannya untuk meneruskan perniagaan membuat kuih karas yang dimulakan sejak bulan Jun 2020.

Berasal dari Kampung Semut Api, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Nusratina pernah bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur sebagai penganalisis laporan selama tujuh tahun, sebelum berhenti dan kembali ke kampung halaman pada bulan Mei  2020.

pic-2

Biarpun bermandikan peluh dan keringat, Nusratina masih belum merancang untuk berhenti menghasilkan kuih tradisional negeri Kedah ini terutamanya untuk tidak mengecewakan pelanggannya yang sudah biasa membeli kuih karas yang dihasilkan.

"Saya berhenti kerja kerana mahu menjaga ibu yang mengalami masalah penyakit tiga serangkai (kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang) dan kebetulan pada ketika itu kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan untuk saya berulang alik ke kampung untuk menziarah ibu.

"Selepas ibu meninggal pada bulan September 2020, saya membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung kerana kasihankan bapa walaupun pernah mendapat tawaran bekerja," kata anak kedua daripada enam beradik ini ketika dihubungi Bernama baru-baru ini. 

 

IDEA BUAT KUIH KARAS

Bercerita lanjut, idea menjual kuih karas itu bermula dengan permintaan ibunya yang ingin sangat menikmati kuih berkenaan namun sukar untuk mendapatkannya di Kelantan.

"Disebabkan masih PKP sukar untuk mencari kuih itu di kawasan Kota Bharu. Ibu selalu meminta sepupu saya yang tinggal di Kedah untuk membawa pulang kuih ini setiap kali sepupu saya balik ke Kelantan," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Taman Ameniti dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Bagi memenuhi permintaan ibunya, Nusratina berkata, ayahnya Shaari Awang, 67, yang pernah berniaga kedai makan kemudiannya belajar membuat kuih itu secara sendiri dan dia turut belajar daripada bapanya.

pic-3

“Disebabkan mak nak makan, ayah berusaha buat walaupun banyak kali tak menjadi. Kami dapat hasilkan kuih yang sempurna pada bulan Jun dan seronok melihat mak makan kuih air tangan kami.

“Kemudian selepas emak meninggal kira-kira tiga bulan kemudian, saya buat keputusan untuk menjual kuih karas dan terima tempahan melalui Facebook mulai bulan November 2020.

"Pada masa itu saya masih belum serius untuk berniaga secara meluas dan hanya sekadar suka-suka," kongsinya. Perniagaan kuih karas ini bermula pukul 9:30 pagi sehingga 5 petang, dan tutup pada hari Jumaat. 

Ditanya adakah menyesal terpaksa meninggalkan jawatan tetap ditambah gaji selesa, Nusratina berkata, pada awalnya dia memang risau namun kini bersyukur kerana kerana berpeluang menyambung pengajian di peringkat sarjana (Pengurusan Perniagaan Februari 2021-Julai 2022) dan kini PhD (Pengurusan Perniagaan). Kedua-dua pengajian adalah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

 

KUIH KARAS YANG UNIK 

Menjenamakan kuih karasnya, Kuih Karas Warisan PCB, Nusratina berkata, meskipun kuih buatannya tidak ada beza dengan yang ditemukan di negeri lain, namun ada kelainan daripada segi bentuk dan rasa.

“Kuih karas Warisan PCB tidak terlalu manis dan dihasilkan dengan tiga rasa iaitu perisa asli, ‘salted egg’ dan ‘super ring’. Saya juga sedang mencipta pelbagai lagi perisa baharu.

“Selain itu keunikan kuih karas ini terletak pada bungkusannya. Pembeli boleh membuat pilihan saiz sama ada pek marhain, bekas kecil atau bekas besar mengikut kemampuan masing-masing," katanya menambah, terbaharu beliau memperkenalkan bentuk pek kecil hanya RM5 bagi tujuan pemberian buah tangan.

Menurut Nusratina, bahan untuk membuat kuih karas terdiri daripada tepung beras,tepung jagung, gula, garam dan air sahaja. 

"Kesemua bahan dicampur dan digaul sebati. Namun proses pembuatan agak rumit kerana perlu memastikan adunan tersebut mencapai tekstur yang baik iaitu tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat. 

pic-5

"Proses menggoreng pula memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menyiapkan kuih karas kerana ia perlu terus dilipat di dalam kuali dalam keadaan minyak yang panas," katanya yang dibantu adik bongsunya dan dalam proses mencari pekerja.

“Adik perempuan saya ini cuma tolong secara sambilan sebab dia pun bekerja sebagai pembantu di kedai alat tulis,” tambahnya.

Kuih karas dihasilkan dengan menggunakan acuan khas diperbuat daripada tempurung kelapa yang dibuat lubang untuk menghasilkan jejari yang halus dan cantik. Ia berbentuk empat segi bagi memudahkan penyusunan di dalam botol selain untuk cenderahati bersaiz kecil panjang.  

Bagi adunan sekilogram tepung beras, sebanyak sehingga 90 keping kuih karas dapat dihasilkan, dan proses ini mengambil masa sekitar satu jam 45 minit. Secara purata, sebanyak 300 balang dihasilkan sebulan dan angka itu berganda semasa perayaan.

“Alhamdulillah, pendapatan yang diperoleh mencukupi untuk menanggung kehidupan saya termasuk biaya pengajian di UMK,” tambahnya.

 

TIDAK MALU

Mungkin bagi sesetengah individu akan berasa malu hanya menjual kuih karas untuk meneruskan kelangsungan hidup sedangkan empunya diri memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi sudah tentu mampu mendapat jawatan besar.

Namun bagi Nusratina, dia senantiasa positif dengan perjalanan hidup yang akhirnya membawa beliau ke dunia perniagaan.

"Beranikanlah diri untuk membuat perubahan demi masa depan kerana ianya akan membawa impak yang besar dalam kehidupan. Tidak perlu malu sekiranya kerjaya kita biasa-biasa sahaja walaupun kita mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Perjalanan hidup kita tidak sama, ujian juga berbeza jadi berusahalah mengikut kemampuan diri.

"Jika kita gagal hari ini tidak bererti gagal selamanya, selagi ada usaha, sampai waktunya Allah akan kurniakan jalan. Saya sendiri bukanlah dalam kategori usahawan yang benar berjaya, namun saya berusaha berlawan dengan diri dan emosi untuk terus menggapai cita-cita dan kehidupan yang lebih baik," katanya yang tidak pernah bermimpi untuk turun ke bidang perniagaan serta menyambung pelajaran sehingga ke peringkat doktor falsafah.

"Apabila saya sambung belajar sambil membuat jualan dari situlah saya mula serius meneruskan perniagaan kuih karas ini. Wang dari kuih ini juga yang membiayai pengajian saya semasa menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan di UMK dan sekarang PhD (semester tiga) bidang yang sama," katanya.

pic-4

Perkembangan jualan kuih karas yang semakin memberansangkan mendorong Nusratina untuk menjadikan perniagaannya sebagai sebuah syarikat yang berdaya maju dan dinamik. 

"Perancangan saya mahu menaikkan kembali kuih tradisional ini agar dikenali oleh anak muda zaman sekarang. Sebab itu saya mengeluarkan kuih karas berperisa untuk menarik minat mereka mencuba kuih karas.

"Harapan saya agar kuih karas ini dapat diteruskan oleh pelapis muda dan saya mengambil inisiatif membuka kelas kepada yang berminat untuk belajar. Maklumat lanjut mengenai kelas ini boleh diperolehi dari Facebook dan TikTok saya di bawah nama Tina Shaari, " katanya yang turut menunjukkan cara masakan kuih itu secara "live" di platform TikTok dan Facebook.

 

MAHU LUASKAN PASARAN

Siapa sangka bermula dari secara kecil-kecilan kini kuih karas air tangan Nusratina semakin mendapat sambutan dan ini mendorongnya untuk memperluaskan lagi perniagaan itu.

"Alhamdulilah sambutan kuih karas agak memberangsangkan sekitar negeri ini. Selepas percubaan menghantar secara pos dan kuih tidak hancur, permintaan dari luar kelantan sangat tinggi," katanya yang turut mendapat tempahan daripada pelbagai agensi, sekolah serta untuk dijadikan cenderahati bagi majlis perkahwinan.

Nusratina berkata, kuih karas Warisan PCB turut dipasarkan di beberapa tempat antaranya Lobi UMK, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,  Kota Bharu Sentral serta melalui agen "dropship".

Menjadi hasrat dan impian Nusratina untuk menjadi pembekal dan pengeluar terbesar di negeri Kelantan dan mahu memasarkan kuih karas ke luar negara. 

"Saya berharap kuih karas mendapat sijil halal dan dapat memasuki semua pasar raya di Malaysia," katanya yang menjadikan bapa sebagai sumber kekuatan selain sahabat untuk terus maju.

pic-6

Berhubung cabaran dalam mengendalikan bisnes kuih karas, ia bukan sesuatu yang mudah dan menurut Nusratina, memandangkan kuih karas adalah kuih orang lama maka pembuatannya perlu dibuat secara tradisional.

"Antara kekangan yang saya hadapi ialah agak sukar untuk mencari pekerja yang betul-betul berminat untuk bekerja. Tidak ramai yang sanggup berhadapan dengan kuali dan minyak panas setiap hari dan masa. Ini antaranya yang membataskan pengeluaran kuih karas untuk dipasarkan secara meluas," katanya. 

Bagaimanapun Nusratina bersyukur kerana dikelilingi sahabat yang sentiasa menyokong perniagaannya dan menzahirkan penghargaan kepada penyelia PhDnya, Profesor Naresh Kumar yang sering memberi motivasi, idea serta nasihat untuk memperbaiki diri dan perniagaan dari semasa ke semasa.

"Waktu belajar saya adalah waktu malam, biasanya bermula pukul 9 malam. Untuk PhD ni kelas tidak banyak, yang banyak berjumpa dengan penyelia. Kebiasaannya saya akan ke UMK mengikut masa Prof Naresh. Kadang-kadang saya akan tutup kedai sekiranya perlu hadir kelas/kursus/seminar yang memakan masa sepanjang hari, " katanya.

Berkongsi detik manis, Nusratina berkata, dia pernah menyertai Program Usahawan Perantis (SPACE) anjuran Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) sebuah unit di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada November 2022 di Kota Bharu sebagai peserta dari UMK dan kuih karasnya memenangi pitching geran sebanyak RM10,000.

"Kemenangan ini menjadi pendorong utama untuk saya meneruskan perniagaan kuih karas. Saya juga adalah usahawan yang terpilih untuk menerima geran peralatan di bawah bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) Kelantan. Ia menjadi pemangkin semangat untuk saya meneruskan perniagaan kuih tradisi ini," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan