DUNIA

Pakistan Kecam Pencerobohan Israel Di Gaza

13/02/2024 11:04 AM

NEW DELHI, 13 Feb (Bernama) -- Pakistan mengecam pencerobohan tentera Israel di bandar Rafah, Gaza, yang jelas mengingkari perintah mahkamah antarabangsa baru-baru ini supaya tidak melakukan genosid terhadap rakyat Palestin. 

“Serangan Israel di Rafah melanggar langkah sementara yang dikeluarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa bagi melindungi penduduk Gaza.

"Tindakan itu akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang telah berlanjutan sejak empat bulan lalu dan menjejaskan usaha berterusan terhadap potensi gencatan senjata," menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan pada Isnin.

Pakistan menggesa masyarakat dunia dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil langkah segera menamatkan pencerobohan dan jenayah berterusan terhadap kemanusiaan yang dilakukan rejim Israel.

Ancaman Israel untuk meluaskan serangan tenteranya ke Rafah berhampiran sempadan Mesir telah menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu meniru perbuatan pemimpin Nazi Adolf Hitler dan melanggar batas kekejaman pembunuhan beramai-ramai di Palestin.

“Walaupun kuasa Barat secara terbuka menggesa Israel menghentikan keganasan, mereka menutup mata terhadap kekejaman Netanyahu dengan berselindung di sebalik alasan Hamas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan