KUCHING, 5 Feb (Bernama) -- Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) yang diadakan di Kota Samarahan berjaya mencatatkan jumlah jualan lebih RM1.25 juta sepanjang empat hari penganjurannya sejak Khamis lepas.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata angka itu melibatkan nilai transaksi jualan usahawan yang menjangkau lebih RM300,000, manakala selebihnya adalah jumlah yang berjaya diperolehi oleh usahawan desa melalui Business Matching, yang melibatkan lebih 80 syarikat.
Beliau berkata dari sudut kehadiran jumlah pengunjung juga telah melepasi sasaran 30,000 orang yang datang, dengan jumlah yang mengunjungi mini karnival itu sehingga tengah hari semalam menjangkau lebih 68,000.
"Mini KUD Kota Samarahan mencapai objektif sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas majlis penutup Mini KUD di Halaman Samarahan di sini semalam.
Rubiah berkata Mini KUD ini juga memberikan pendedahan kepada usahawan desa mengenai sistem perniagaan yang lebih baik dan terancang untuk meningkatkan pendapatan, sekali gus membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar.
"Lebih 100 usahawan luar bandar sekitar Sarawak menyertai karnival ini dan kebanyakkan yang terlibat adalah dalam kategori makanan dan minuman, pakaian, kecantikan dan kesihatan, kraftangan dan produk pertanian.
Beliau berkata selain itu mini karnival berkenaan turut menampilkan pameran KKDW dan agensi-agensi yang memfokuskan kepada keusahawanan, pendidikan, TVET@KKDW dan penawaran kemudahan pembiayaan perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial