EKONOMI

Sunsuria Healthcare Rancang Buka Lebih Banyak Pusat Rawatan Kanser, Kukuh Penglibatan Penjagaan Tertiari

31/01/2024 09:38 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Sunsuria Healthcare, anak syarikat Sunsuria Bhd (Sunsuria) menyasarkan untuk mengukuhkan penglibatannya dalam pasaran penjagaan kesihatan dan merancang untuk membuka beberapa pusat rawatan berpakar untuk kanser, dengan pembukaan pertamanya bulan ini. 

Pusat rawatan itu, Pusat Kanser Icon Sunsuria di Island Hospital, Pulau Pinang, ditubuhkan hasil perkongsian antara Sunsuria Healthcare dan Icon Group, pengendali penyedia penjagaan onkologi swasta terbesar di Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunsuria Healthcare Audrey Ooi berkata pengembangan syarikat itu adalah mengikut keperluan pasaran dan menyumbang kepada syarikat induk, Sunsuria secara keseluruhannya.

“Kami telah menggariskan pelan strategik lima hingga tujuh tahun, dengan beberapa lagi pusat kanser akan dibuka, hasil kerjasama dengan rakan kongsi strategik.

"Keutamaan kami dalam kerjasama itu adalah untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan kanser yang berkualiti kepada pesakit serta mencari kawasan yang masih belum mendapat perkhidmatan berkenaan," katanya kepada Bernama.

Langkah itu adalah bagi mengukuhkan penjagaan berkepakaran di hospital tertiari, yang masih lemah dalam sistem penjagaan kesihatan sedia ada mereka, katanya.

Ooi berkata Sunsuria Healthcare yang berazam untuk mengukuhkan komitmennya dalam hospital tertiari telah memberikan penekanan dalam memastikan kejayaan penubuhan dan operasi pusat kanser itu.

Rancangan pertumbuhan segeranya dalam tempoh 12 bulan akan datang adalah dengan terus mengembangkan rangkaian rakan kongsi tertiari dan pakar-pakar, di samping memulakan penubuhan rantaian pusat kanser mereka di bandar-bandar berbeza di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bersama rakan kongsi yang dikenal pasti. 

"Kami sedang giat mencari rakan kongsi strategik dan rakan niaga tempatan untuk mengukuhkan dan meningkatkan penjagaan kanser di rantau ini," katanya dan menambah bahawa Sunsuria Healthcare kini terlibat secara aktif dalam projek Sunsuria Care dan Sunsuria Medical Clinic.

Sunsuria Care ialah hab penjagaan kesihatan komuniti yang dibina dalam projek pembangunan hartanah Sunsuria manakala Sunsuria Medical Clinic bakal menyediakan penjagaan kesihatan utama dan perkhidmatan komprehensif kepada komuniti Sunsuria City serta orang ramai.

Mengenai unjuran sumbangan hasil segmen penjagaan kesihatan kepada kumpulan itu beliau berkata masih terlalu awal untuk dinilai dan Sunsuria Healthcare kini memfokuskan pada fasa pembinaan dan pengkomersialan.

Mengulas mengenai pelancongan perubatan, Ooi berkata Malaysia mempunyai kelebihan dari segi daya saing kerana profesionalisme dan amalan standard pakar-pakarnya adalah selaras dengan amalan di United Kingdom, Australia dan organisasi antarabangsa yang lain.

"Integriti rakyat kita dan hakikat bahawa doktor kita mematuhi piawaian antarabangsa, serta amalan yang mengikut standard, telah meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelancongan perubatan," katanya sambil menambah bahawa kadar pertukaran asing semasa negara turut menjadi faktor tarikan.

Ini dapat dilihat apabila sebilangan besar pesakit antarabangsa yang sebelum ini pergi ke Singapura, kini melihat Malaysia sebagai alternatif dan terdapat minat yang besar daripada pesakit di Myanmar, Indonesia, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu berkemungkinan untuk menerima rawatan di Malaysia.

“Sebagai inisiatif strategik, kami secara proaktif bekerjasama dengan kedua-dua panel insurans tempatan dan antarabangsa dan berjaya menarik banyak panel antarabangsa ke pusat Pulau Pinang kami.

"Dengan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, kami berusaha untuk memanjangkan sokongan kami kepada ramai pesakit antarabangsa yang dilindungi oleh panel ini, menggalakkan mereka mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata usaha ini yang turut melibatkan kerjasama pakar tempatan dan rakan kongsi antarabangsa serta kemasukan pelancongan perubatan, bukan sahaja meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan tetapi juga menyumbang kepada standard penjagaan kesihatan keseluruhan rantau ini.

Dengan tumpuan terhadap perkhidmatan berkualiti tinggi dan pertumbuhan strategik yang sejajar dengan keperluan pasaran, Sunsuria Healthcare kekal berdedikasi untuk memberi kesan positif kepada penjagaan kesihatan di rantau ini, memupuk pertumbuhan dan memastikan kesejahteraan komuniti yang dilayaninya, katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan