KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor terus menurun kepada 980 orang di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam ini berbanding 1,114 orang petang tadi.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 923 mangsa daripada 275 keluarga direkodkan di Terengganu yang ditempatkan di tujuh PPS di Dungun.
Di Johor pula, 29 mangsa kekal ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi, manakala di Pahang sebanyak 28 mangsa masih berlindung di dua PPS di Rompin.
Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya iaitu di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.
Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan), Sungai Rompin dan Sungai Pahang (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).
NADMA turut memaklumkan 25 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Trolak Selatan di Batang Padang, Perak; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor; dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial