SUKAN

BAM GUGURKAN JUSTIN HOH DARIPADA SKUAD BATC

27/01/2024 11:01 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara yang sedang meningkat naik, Justin Hoh terlepas peluang untuk beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, bulan depan, susulan kecederaan pada lutut kanannya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan lewat malam tadi memaklumkan seorang lagi pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao akan menggantikan Justin pada kejohanan itu yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor bermula 13 hingga 18 Feb ini.

Perkara tidak dijangkakan berkenaan bertentangan dengan pengumuman oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky pada sidang media semalam, yang memaklumkan Justin disenaraikan ke dalam skuad kali ini.

"Dengan tarikh akhir pendaftaran pemain pada tengah malam tadi, BAM memutuskan untuk membawa masuk Leong Jun Hao sebagai pengganti.

“Justin telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengelak daripada menyertai sebarang kejohanan berintensiti tinggi untuk beberapa minggu akan datang,” menurut BAM.

Sementara itu, Rexy berkata pemain berusia 19 tahun itu akan menjalani pemulihan dan dijangka kembali ke gelanggang setelah mendapat kebenaran daripada doktor.

"Kami akan memantau dengan rapat keadaan Justin. Kami mendoakan agar dia segera sembuh dan berharap dapat melihatnya kembali beraksi dalam masa terdekat,” katanya.

Jun Hao akan bersama-sama pemain profesional Lee Zii Jia dan perseorangan utama BAM Ng Tze Yong serta seorang lagi pemain muda, Eogene Ewe dalam kategori perseorangan.

Juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai kem beregu, diikuti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan gandingan meningkat naik Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan