SUKAN

Speedy Tigers Kelima Terbaik Di Kelayakan Olimpik

22/01/2024 01:46 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan menamatkan kempen kelayakan Olimpik di kedudukan kelima selepas mengatasi Kanada 3-1 menerusi penentuan penalti pada perlawanan klasifikasi tempat kelima-keenam, hari ini.

Terdahulu, skuad negara yang dikenali sebagai Speedy Tigers terikat tanpa jaringan menentang pasukan ranking ke-18 dunia itu di Stadium Oman, Muscat.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti dengan Muhammad Firhan  Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal berjaya melengkapkan percubaan mereka buat Malaysia yang berada di ranking ke-14 dunia.

Kanada hanya Floris van Son berjaya menemui sasaran manakala Brenden Bisset dan Balraj Panesar terlepas peluang.

Skuad Speedy Tigers gagal layak ke Olimpik Paris 2024, yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A kejohanan kelayakan itu di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (9 mata), Pakistan (4 mata) dan China (3 mata).

Skuad kendalian A. Arul Selvaraj membuka tirai kempen di Oman dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada China Isnin lepas, kemudian tewas 1-4 odengan Great Britain pada Selasa dan terikat 3-3 menentang Pakistan pada awal pagi Jumaat.

Hanya tiga pasukan terbaik dalam kempen kelayakan di Oman akan melayakkan diri ke Paris 2024.

Kali terakhir Malaysia layak ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan