AM

Kerajaan Perpaduan Akan Beri Tumpuan Penyelesaian Isu Infrastruktur Asas Di Labuan - Dr Zaliha

22/01/2024 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan akan memberi fokus dalam menyelesaikan isu infrastruktur asas di Labuan dalam usaha memajukan dan memakmurkan lagi pulau bebas cukai itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam di Labuan hari ini, jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam merangka usaha berkenaan.

“Justeru, dengan pemantauan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta usaha sama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan beberapa agensi Kerajaan Sabah yang berkaitan, diharapkan pelaksanaan projek menaik taraf paip dan cadangan pembinaan loji jana kuasa baharu dapat dilaksanakan dengan baik.

Pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur asas di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan semestinya akan merangsang aktiviti ekonomi tempatan serta menarik pelaburan luar,” katanya satu dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Fadillah dilapor berkata pendekatan dan kaedah berbeza perlu diguna pakai dalam merealisasikan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah yang dinanti-nantikan sekian lama.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk kajian menyeluruh bagi menilai daya maju jambatan berkenaan dan potensi kesannya terhadap ekonomi Labuan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan