SUKAN

TERBUKA INDIA: AARON-WOOI YIK, ZII JIA TEMPAH SLOT KE SUKU AKHIR

18/01/2024 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Tiga wakil Malaysia termasuk juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, berjaya menempah slot ke suku akhir di kejohanan badminton Terbuka India 2024 yang berlangsung di New Delhi hari ini.

Pada pusingan kedua kejohanan Super 750 yang berlangsung di Stadium Tertutup KD Jadhav, pilihan keempat Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pasangan Jepun Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura, 21-10, 21-14, dalam masa 31 minit.

Pasangan negara yang ketika ini menduduki ranking dunia keempat akan menentang beregu China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, yang menewaskan satu lagi gandingan Malaysia Goh Sze-Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-19, 17-21, 21-17.

Sementara itu Zii Jia, mengejutkan pilihan kelima dari Indonesia, Jonatan Christie, 21-15, 21-13, dan bakal berdepan pemain pilihan kedua dari Jepun, Kodai Naraoka, yang sebelum itu menyingkirkan rakan senegara Takuma Obayashi 21-19, 21-17, untuk menempah slot ke separuh akhir.

Sementara itu, pasangan beregu campuran bebas Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut melangkah ke pusingan seterusnya apabila menewaskan Cheng Xing-Zhang Chi dari China, 26-24, 21-10.

Satu lagi gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menjadi pencabar bagi beregu negara Soon Huat-Shevon untuk mara ke suku akhir selepas pilihan kelima itu mengalahkan pasangan Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dari Jepun, 21-14, 21-13.

Bagaimanapun, kejohanan itu terpaksa melupakan tiga lagi wakil Malaysia termasuk beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah dan beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas mereka tersingkir awal dalam pusingan kedua.

Pearly-Thinaah tewas kepada gandingan pilihan keempat dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, 16-21, 13-21, manakala pasangan profesional Vivian Hoo-Lim Chiew Sen juga terpaksa akur dengan kehebatan gandingan Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam, 11-21, 21-15, 10-21.

Tang Jie-Ee Wei pula ditunjukkan jalan keluar lebih awal oleh bekas juara dunia 2021 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 19-21, 16-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan