EKONOMI

Iilm Terbit Semula Suku Jangka Pendek Us$840 Juta

17/01/2024 12:58 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) telah menerbitkan semula sukuk jangka pendek bernilai US$840 juta (RM1=US$4.692).

Perbadanan antarbangsa yang membangun dan menerbitkan instrumen kewangan patuh syariah jangka pendek itu berkata sukuk tersebut diterbitkan mengikut tiga tenor iaitu masing-masing pada satu, tiga dan enam bulan.

Ini menandakan lelongan pertama IILM pada 2024.

Tiga siri itu berharga 5.4 peratus pada US$250 juta bertempoh satu bulan; 5.4 peratus pada US$290 juta (tempoh tiga bulan) dan 5.3 peratus untuk US$300 juta bagi tempoh enam bulan.

“Penerbitan semula sukuk IILM menyaksikan tender yang kompetitif di kalangan peniaga utama termasuk pelabur dari pasaran di seluruh rantau Majlis Kerjasama Teluk dan Asia.

“Tempahan dalam tangan kukuh melebihi US$1.93 bilion mewakili nisbah bidaan merangkumi purata 230 peratus ,” kata IILM.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohamad Safri Shahul Hamid berkata kejayaan terbitan itu mencerminkan selera dan keyakinan pasaran terhadap kertas jangka pendek Islam IILM. 

“Walaupun ketidaktentuan pasaran berterusan yang timbul daripada sebarang keputusan akan datang oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengenai pemotongan kadar, sukuk IILM terus mendapat momentum di tahun baharu dengan permintaan kukuh untuk instrumen mudah tunai patuh syariah rentas sempadan yang berkualiti tinggi.

“IILM juga berbesar hati mempunyai pelabur baharu dari pelbagai bidang kuasa yang menyertai lelongan sukuk buat kali pertama, yang memberi petanda baik bagi pertumbuhan kewangan Islam di peringkat global,” katanya.

Terbitan itu merupakan sebahagian daripada program terbitan suku jangka pendek US$4 bilion IILM bertaraf “A-1” (S&P) dan “F1” (Fitch Ratings).

Sukuk jangka pendek itu diedarkan oleh rangkaian 10 peniaga utama di seluruh dunia seperti Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk , Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd, Dukhan Bank, First Abu Dhabi Bank, Kuwait Finance House, Maybank Islamic Bhd, Qatar Islamic Bank, dan Standard Chartered Bank.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan