KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, malam ini berlepas ke Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.
Anwar dalam catatan di laman Facebook memaklumkan lawatan itu bagi memenuhi undangan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Istiadat Persandingan Diraja Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anisha Rosnah Adam yang akan berlangsung esok.
Perdana Menteri turut memuat naik video membaca doa selamat sebelum menaiki pesawat bersama Wan Azizah.
Pada Khamis lepas, Abdul Mateen dan Dayang Anisha selamat bernikah di Masjid Omar Ali Saifuddien dan esok akan berlangsung Istiadat Persandingan Diraja di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan disusuli Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin diraja pada Isnin.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial