KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Beregu lelaki utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menampilkan aksi mengakjubkan apabila bangkit daripada ketinggalan enam mata pada set kedua untuk menewaskan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, 21-18, 22-20 pada separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia di sini hari ini.
Ganjaran mereka ialah pertarungan kejuaraan menentang pilihan utama Liang Wei Keng-Wang Chang selepas pasangan China itu menyingkirkan pilihan ketujuh dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-12, 19-21, 21-13 pada satu lagi separuh akhir.
Setelah memenangi perlawanan pertama 21-18, pasangan India itu mendapati diri mereka dalam kesukaran dalam set kedua apabila pilihan keenam Min Hyuk-Seung Jae memegang mata perlawanan pada 20-14.
Tanpa gentar, Satwiksairaj-Chirag perlahan-lahan tetapi pasti kembali untuk menyamakan kedudukan mata 20 sebelum melakar kemenangan 22-20 untuk membuka peluang menjadi pemain pertama dari India memenangi kejuaraan Terbuka Malaysia.
Chirag kemudian mengakui bahawa apabila mereka mendapati diri mereka ketinggalan 14-20 dalam set kedua, mereka memutuskan untuk kekal fokus dan mengutip satu mata pada satu masa dan gembira strategi mereka membuahkan hasil.
“Kami belum selesai, kami (masih) mempunyai banyak lagi dalam simpanan kami. Kami menyasarkan untuk mempamerkan badminton yang lebih cemerlang dan menantikan perlawanan akhir esok,” kata Satwiksairaj.
Satwiksairaj-Chirag boleh menjangkakan ujian yang lebih berat daripada Wei Keng-Wang Chang selepas pasangan China itu mengambil masa 50 minit untuk mengalahkan Hoki-Kobayashi.
Wang Chang mengakui bahawa prestasi mereka di bawah par dalam set kedua mendorong mereka untuk meningkatkan permainan mereka dalam set penentuan.
“Lawan kami bermain baik pada set kedua, tetapi kami berjaya mengawal semula dari awal perlawanan set akhir untuk memastikan kemenangan,” katanya.
Wang Chang menambah bahawa mereka kini akan menganalisis permainan Satwiksairaj-Chirag dan merangka strategi untuk menumpaskan mereka dalam pertembungan esok.
Berdasarkan rekod pertemuan, Wei Keng-Wang Chang mendahului 3-1 ke atas pasangan India itu sebelum melangkah ke final di Axiata Arena Bukit Jalil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial