AM

Empat Pakej Kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah Disiapkan Tahun Lepas - Hajiji

11/01/2024 11:20 PM

PENAMPANG, 11 Jan (Bernama) --  Empat pakej kerja (PK) Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah iaitu Jalan Papar Donggongon, Jalan Tawau-Semporna, Jalan Bipas Lahad Datu dan Jalan Kampung Lot M - Batu 32 Sandakan telah disiapkan setakat 31 Dis tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata ada 35 PK dalam projek Fasa 1 dan daripada angka itu 11 PK masih lagi dalam pembinaan  sementara lima PK dalam proses pemerolehan dan 15 PK di bawah Fasa 1B belum lagi dimulakan.  

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 1,236 km dilaksanakan dalam tiga fasa dan kami mahu ia disiapkan ssecepat mungkin, katanya dalam satu kenyataan selepas melawat tapak projek lebuh raya itu di sini hari ini.

Beliau berkata Fasa 1 melibatkan laluan Sindumin-Kota Kinabalu-Kudat, Ranau-Batu 32 Sandakan dan Batu 32 Sandakan-Tawau dengan jarak 706km, sementara Fasa 2 ialah dari Tamparuli-Ranau (96km) dan Fasa 3, iaitu jalan Tawau-Kalabakan-Keningau-Kimanis   (432km).

Sementara itu, Ketua Menteri berkata pembinaan jalan berkembar Putatan-Inanam sepanjang 21.7km termasuk sebatang jalan 2.1km  ke Bukit Padang di bawah projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 sudah 79.96 peratus siap. 

Beliau berkata projek Jalan Putatan-Inanam yang dianggarkan menelan kos  RM788.37 juta dijangka siap menjelang November tahun ini.

“Projek Jalan Putatan-Inanam juga termasuk pembinaan tiga jambatan baharu menyeberangi Sungai Moyog, sebuah jambatan atas darat di Kampung Kolopis, tiga pembetung kotak di Kampung Kolopis dan tujuh persimpangan baharu,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan