EKONOMI

Tanjung Bruas Port Mulakan Perkhidmatan Penghantar Kontena Ke Pelabuhan Klang

10/01/2024 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Tanjung Bruas Port Sdn Bhd (TBP) memulakan perkhidmatan penghantar bagi kontena dari Tanjung Bruas, Melaka ke Pelabuhan Klang, Selangor (TBP-PKL-TBP) bertujuan memenuhi keperluan syarikat perkapalan dari bahagian utara Johor, Melaka dan selatan Negeri Sembilan.

TBP, yang merupakan anggota MMC Group, menjelaskan kumpulan kontena pertama 120 unit bersamaan 20 kami dari CMA CGM tiba pada 3 Jan, 2024.

“Projek penghantar adalah usaha dan perkongsian bersama antara TBP dan CMA CGM, dengan CMA CGM menawarkan penyelesaian lestari yang komprehensif kepada pengangkut.

“Ini termasuk penghantaran kontena, pelepasan kargo kastam dan barj dari laluan Pelabuhan Tanjung Bruas ke Pelabuhan Klang dan sebaliknya melalui jaringan global mereka ke destinasi akhir kargo seperti Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah, Afrika Selatan, Jepun, China dan negara yang lain,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

TBP menekankan bahawa perkhidmatan itu diwujudkan untuk menarik pengangkut Melaka, dengan unjuran pengendalian tahunan sebanyak 100,000 hingga 150,000 TEU.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka, Datuk Ginie Lim berkata perkhidmatan itu adalah satu inisiatif yang membanggakan, yang menawarkan lebih fleksibiliti dari segi laluan dan jadual.

Beliau berkata perkhidmatan itu dijangka mengurangkan masa yang diambil untuk mengangkut barangan antara kedua-dua bandar itu, mengurangkan kos dan kesesakan lalu lintas serta pencemaran di jalan raya, selaras dengan komitmen kerajaan negeri terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Pengarah TBP, Md Derick Basir berkata perkongsian itu dapat meningkatkan sumber, kepakaran dan kejayaan keseluruhan projek sekali gus memupuk manfaat bersama untuk semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata usaha itu juga boleh memendekkan tempoh masa bagi melengkapkan seluruh proses kontena, pengurangan inventori kontena tidak aktif dan peningkatan kecekapan keseluruhan dalam rantaian logistik.

TBP mampu mengendalikan 50,000 TEU setahun dengan adanya infrastruktur sedia ada, katanya.

Pada peringkat awal, perkhidmatan penghantar akan menggunakan Pelabuhan Tanjung Bruas setiap minggu.

Selepas peningkatan jumlah kapal, kekerapan perkhidmatan penghantar akan ditingkatkan kepada dua atau tiga panggilan dalam seminggu tertakluk kepada permintaan pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan