KANGAR, 21 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis memberikan tumpuan terhadap usaha untuk menurunkan peratusan air tidak terhasil (NRW) di negeri itu daripada lebih 60 peratus ketika ini kepada kira-kira 50 peratus pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Perlis Izizam Ibrahim berkata usaha itu penting bagi memastikan bekalan air sentiasa terjamin untuk memenuhi keperluan rakyat di negeri ini, sekali gus dapat mengatasi masalah pembaziran air.
Sehubungan itu, beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri tidak memfokuskan kepada isu kenaikan tarif air di Perlis dan tidak membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkaitan kenaikan kadar tarif air tahun depan.
“Perbincangan tentang kenaikan tarif air ini pada peringkat kerajaan negeri itu ada, tetapi tahun depan memang kita tak tumpu nak naik tarif air lagi, saya nak selesaikan masalah air di Perlis ini sebab NRW kita pun 60 peratus ke atas.
“Selain itu, ada kawasan yang masih tak dapat tekanan air yang baik, jadi saya nak beri tumpuan kepada masalah ini dulu, bagi kita salur air kepada rakyat baru kita akan tengok kepada kenaikan tarif air,” katanya kepada Bernama hari ini.
Izizam berkata kadar tarif air pengguna domestik di Perlis sejak 1996 adalah sebanyak 40 sen bagi satu hingga 14 meter padu, manakala 15 hingga 40 meter padu ialah 70 sen dan kadar bagi 40 meter padu ke atas RM1.10.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial