AM

Jambatan Runtuh Akibat Banjir, Empat Kampung Di Kuala Krai Terjejas

17/12/2023 11:25 PM

KUALA KRAI, 17 Dis (Bernama) -- Kira-kira 500 penduduk daripada empat kampung dekat Chenulang di sini, terputus hubungan apabila sebuah jambatan runtuh akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

Empat kampung itu adalah Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Batu Pagar.

Penduduk Mohd Mahdam Abdullah, 30, dari Kampung Pasir Jering berkata kejadian tersebut disedarinya 1 tengah hari tadi selepas air di kawasan rumahnya mulai surut hari ini.

"Walaupun banjir besar pernah berlaku pada 2014 tetapi jambatan ini tidak runtuh dan kejadian ini adalah kali pertama berlaku di kampung kami.

"Apabila jambatan runtuh ia akan menyukarkan penduduk kampung untuk melakukan aktiviti harian seperti membeli kelengkapan dapur dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Dia berharap pihak berwajib segera membina jambatan baharu supaya penduduk dapat melakukan rutin harian tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Panglima Briged Kelapan Infantri Brig Jen Datuk Azudin Hassan ketika mengadakan tinjauan di lokasi kejadian berkata buat masa ini, pihaknya menyediakan dua bot dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk penduduk sekiranya berlaku kecemasan.

"Hampir 55 pegawai dan anggota polis, bomba, tentera dan APM bertugas untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan