Oleh Shanika Abdullatib
MELAKA, 23 Nov (Bernama ) -- Pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk peruntukan sekali beri sebanyak RM70,000 bagi menaik taraf dan penyelenggaraan tandas di sekolah oleh kerajaan tidak seharusnya ‘mematikan’ kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru Datuk Ronald Gan Yong Hoe berkata ia seharusnya dijadikan platform untuk setiap ahli PIBG untuk lebih aktif dalam hal berkaitan penyelenggaraan dan keceriaan tandas bagi meringankan beban kewangan kedua-dua pihak.
“Kerajaan telah memulakan inisiatif (naik taraf tandas), jadi pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa kena main peranan. Ini kerana kerajaan tidak boleh atau mampu untuk selalu beri peruntukan dan di sinilah kita semua terutama pelajar perlu memainkan peranan bahawa tandas ini adalah satu tanggungjawab,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata antara inisiatif bagi meringankan beban kewangan melibatkan tandas sekolah adalah mengadakan tandas angkat, pertandingan kebersihan serta pemantauan penyelenggaraan bersama mengikut waktu ditetapkan.
“Bagi saya selaku YDP PIBG sekolah ini, kami ambil inisiatif sendiri untuk bantu sekolah bagi menceriakan tandas di sini. Memandangkan sekolah ini mempunyai banyak tandas, inisiatif menyelenggara dan menceriakannya perlu dilakukan berterusan.
“Pelajar kena jaga tandas macam bilik dia sendiri kerana jika hendak tengok sesuatu sekolah dan pelajar itu bagus atau tidak, kita tengok tandasnya. Proses ini juga secara tidak langsung akan mengurangkan vandalisme, yang sudah tentu memberi impak kos kepada sekolah jika ada kerosakan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, wakil Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas Muhammad Al Amin Zainol berkata kelangsungan fungsi tandas yang baik juga dapat diukur menerusi peranan PIBG terutama selepas satu peruntukan besar dikeluarkan oleh kerajaan demi keselesaan murid-murid.
“Bagi saya tidak perlu meletakkan sepenuhnya tanggungjawab selenggara tandas ini ke atas bahu kerajaan semata-mata kerana sudah ada dana tertentu yang disalurkan kepada setiap sekolah.
“Jadi tinggal kita (PIBG) membantu sekolah untuk melaksana dan memastikan ia terus berfungsi dengan baik seperti mengadakan gotong-royong perdana, melakukan pemantauan berkala dan menanam kesedaran tentang peranan menjaga tandas kepada murid-murid,” katanya.
Bagi Yang Dipertua PIBG SK Duyong Nur Azan Hassan berkata selain memantau bersama, sumbangan secara aktif juga akan membantu meringankan beban sekolah dalam menghadapi isu-isu berkaitan tandas.
“Pada dasarnya dari segi peruntukan, memang kerajaan mempunyai keterbatasan kerana agak rugi jika dan hanya ditumpukan kepada infrastruktur tandas semata-mata tetapi inisiatif RM70,000 ini sangat dihargai.
“Jadi kerjasama yang baik antara kerajaan Persekutuan, negeri, kepimpinan di peringkat kampung dan alumni dapat menjadikan fasiliti ini lebih selesa demi kegunaan anak bangsa kita kerana sebelum ini kita telah lakukan untuk menceriakan bilik darjah dan sambutannya juga sangat positif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial