SUKAN

DRY RUN: MOE COMMITTED TO TACKLING SEXUAL HARASSMENT ISSUE - FADHLINA

15/11/2023 10:47 AM

ALOR SETAR, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited dalam menangani isu berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak terutama membabitkan pelajar sekolah dan sentiasa memandang serius isu itu.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata KPM memberi komitmen sepenuhnya mengenai penguatkuasaan lebih tegas Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

"Penting untuk diulang memperingatkan bahawa kita juga sudah meluncurkan garis panduan pengurusan gangguan seksual (Garis Panduan Pengurusan Buli dan Gangguan Seksual) di peringkat institusi pendidikan KPM.

"Jadi ia bukan sekadar garis panduan semata-mata, tapi memaknakan keseriusan kita bahawa isu seksual ini benar-benar ditangani," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Promak Riang Ria Nutri Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said semalam, mengenai penguatkuasaan lebih tegas dan agresif akan dilaksanakan bagi membendung penderaan seksual terhadap kanak-kanak, termasuk mendakwa guru, jiran atau orang awam yang menyembunyikan atau gagal melapor perbuatan itu.

Azalina dilaporkan berkata sehingga ini belum ada individu yang didakwa berkaitan isu itu walaupun ia termaktub dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Sementara itu Fadhlina berkata Program Makanan Kesihatan (Promak) yang membekalkan makanan berkhasiat kepada murid sekolah rendah di seluruh negara menjadi serampang dua mata, bukan sahaja dari segi nutrisi malah turut meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah.

"Selain isu nutrisi, program ini (Promak) mampu mengangkat kehadiran kanak-kanak ke sekolah sehingga 89 peratus selepas program promak," katanya.

Menerusi program itu, bekalan set makanan tengah hari lengkap disediakan buat pelajar sebaik sahaja mereka selesai menjalani sesi pembelajaran di sekolah.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadhlina berkata KPM sentiasa memberikan perhatian serius berhubung isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

"KPM sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta Program Hidangan Berkhasiat (HiTS) yang diharapkan dapat membantu mengatasi isu malnutrisi dan kemiskinan murid di peringkat umur awal persekolahan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan