POLITIK

HAJIJI TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN PRN SABAH DIAWALKAN

13/11/2023 08:36 PM

KOTA KINABALU, 13 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diawalkan.

Hajiji, yang juga Presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), berkata tempoh tamat penggal pentadbiran kerajaan negeri GRS-PH Plus adalah pada Oktober 2025.

“Walaupun kita masih mempunyai tempoh dalam dua tahun lagi namun siapa tahu kemungkinan pilihan raya akan kita awalkan?” katanya dalam ucapan dasar Persidangan Agung Tahunan 2023 Gagasan Rakyat di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata jentera Gagasan Rakyat perlu bersedia dan bekerja keras bagi menghadapi PRN Sabah kerana dua tahun bukan tempoh yang lama.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Hajiji bagaimanapun berkata beliau belum mempunyai ‘ilham’ untuk tarikh pilihan raya tersebut.

Hajiji juga berkata dalam menghadapi PRN Sabah akan datang, beliau berharap tiada lagi cubaan rampasan kuasa dibuat seperti pada awal tahun ini yang boleh menjejaskan kestabilan politik negeri.

Pengerusi GRS itu berkata ia antara titik hitam dalam politik Sabah yang amat mengecewakan kerana dilakukan oleh segelintir pemimpin iaitu rakan dalam kerajaan negeri sendiri dan ia telah mengakibatkan segala urusan pentadbiran negeri terganggu.

Tanpa menamakan pemimpin atau kumpulan itu, beliau berkata kerajaan negeri nyaris lumpuh serta hilang kelayakan untuk meneruskan pentadbiran dan pemerintahan malah mendatangkan kegusaran kepada rakyat Sabah sendiri yang bimbang jika berlaku PRN sekali lagi.

Hajiji berkata ketidakstabilan politik serta perubahan yang kerap di Sabah termasuk menukar Ketua Menteri boleh menyebabkan dasar kerajaan sebelum ini tidak dapat diteruskan dan ini merencatkan pembangunan negeri ini sendiri.

“Membangunkan negeri memerlukan jangka masa munasabah selain komitmen serta iltizam kerajaan untuk merealisasikan matlamat menjadikan negeri lebih maju dan membangun.

“Sabah memerlukan iltizam politik untuk membangun dengan segera. Kuncinya ialah kestabilan dan hanya dengan kestabilan, Sabah mampu dibangunkan serta dimajukan,” katanya.

Beliau berkata atas faktor kestabilan politik dan kepentingan rakyat, GRS memutuskan untuk bersama Kerajaan Perpaduan seterusnya memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan