AM

NGA BUAT KEJUTAN, SERAH SEBULAN GAJI KEPADA KAKITANGAN KPKT MENANG ANUGERAH AIPSA

11/11/2023 12:19 AM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming membuat kejutan dengan menyerahkan sebulan gajinya kepada kakitangan kementerian itu yang berjaya memenangi kategori tertinggi pada Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023. 

Nga dalam satu hantaran di X berkata ia sebagai mengiktiraf jasa dan bakti mereka yang telah berusaha dalam mencapai kejayaan itu. 

“Semasa mesyuarat pasca-Kabinet, saya telah memberi satu bulan gaji menteri saya kepada kakitangan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berjaya memenangi kategori tertinggi AIPSA 2023 sebagai pengiktirafan jasa dan bakti mereka.

Malaysia MADANI, pemimpin dan rakyat berpisah tiada,” katanya menerusi hantaran itu hari ini. 

Pada 8 Nov lepas, KPKT menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membolot dua anugerah menerusi inovasi peranti “Audio Frequency Intercept System” (AFIS) pada pertandingan Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) Tahun 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Inovasi AFIS, iaitu sebuah sistem penyampaian maklumat dan amaran awal bagi situasi kecemasan turut dinobatkan sebagai Johan Trek Keselamatan dan Pentadbiran bagi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) 2023. 

KPKT dalam satu kenyataan berkata inovasi berkenaan merupakan ciptaan Pasukan Alor Setar Troopers terdiri daripada enam pegawai diketuai Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah, dan ia dicipta bagi mencari penyelesaian kepada masalah pasukan penyelamat apabila berhadapan kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan ke lokasi kejadian. 

AFIS berfungsi dengan cara memintas frekuensi siaran radio kenderaan di hadapan sehingga jarak 200 meter sekali gus membuat hebahan untuk memberikan laluan kepada kenderaan kecemasan.

Selain itu, KPKT menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) turut merangkul gelaran Johan bagi  Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) 2023 melalui inovasi PBTPay-Inovasi Gerbang ePembayaran Berpusat Sektor Awam, yang direka bagi mengatasi masalah pembayaran bil-bil perkhidmatan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 PBTPay-Inovasi Gerbang ePembayaran Berpusat Sektor Awam merupakan cetusan inovasi Kumpulan Outstanding 9 (OS9) yang dianggotai oleh sembilan pegawai dari Bahagian Teknologi Maklumat dan Dasar JKT pada tahun 2020. 

Sehingga kini, kutipan di PBTPay telah mencecah sebanyak RM540 juta dan dijangka akan mampu mencapai kutipan sehingga RM1 bilion menjelang tahun 2025 selain telah dimanfaatkan oleh 99 PBT dan bakal diperluaskan untuk kegunaan PBT di Sabah dan Sarawak bermula tahun hadapan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan