KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Skuad hoki wanita kebangsaan mempamerkan aksi mengecewakan pada hari pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Tuanku Zara 2023 apabila tewas dua perlawanan berturut-turut dalam saingan liga sepusingan hari ini.
Pada aksi berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pagi tadi, anak buah Mohd Badrul Hisham Osman itu tewas tipis 2-3 kepada Afrika Selatan dan gagal bangkit pada perlawanan kedua apabila terpaksa akur dengan kekalahan 1-4 kepada Namibia petang tadi.
Dalam aksi menentang Afrika Selatan, menyaksikan pasukan pelawat menjaringkan dua pukulan sudut penalti berturut-turut menerusi Malikah Hamza pada minit ke-10 diikuti Garbiella Terblanche (minit ke-13) sebelum Iren Hussin merapatkan kedudukan hasil pukulan penalti pada minit ke-26.
Namun, kekasaran dilakukan pemain Malaysia seminit kemudian menyaksikan Afrika Selatan, yang berada di ranking keenam dunia, dihadiahkan pukulan penalti yang tidak disia-siakan Tegan Fourie untuk melebarkan kedudukan kepada 3-1.
Tidak berputus asa, Malaysia bangkit melalui asakan bertali arus sekali gus menyaksikan Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun berjaya meledak gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-40 namun sudah terlewat buat mereka untuk menafikan kemenangan pasukan Afrika Selatan.
Sementara dalam aksi berdepan Namibia, menyaksikan pasukan di ranking ke-10 dunia itu membuka jaringan menerusi Sunelle Ludwig pada minit ke-15 sebelum Azaylee Philander menjaringkan hatrik pada minit ke-20, 30 dan 31.
Gol sagu hati skuad negara yang berada di ranking ke-38 dunia, disempurnakan Iren menerusi gol padang pada minit ke-33.
Malaysia kini berada di kedudukan kelima daripada enam pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan.
Skuad negara akan bertemu Australia dan Switzerland pada Khamis ini diikuti aksi terakhir menentang New Zealand pada Jumaat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial