KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dalam parti itu bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa semalam.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perkara itu diputuskan hasil mesyuarat jawatankuasa tersebut yang bersidang semalam bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan Perlembagaan oleh Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar berkenaan.
“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.
“Sehubungan itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain digantung keahliannya berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman iaitu 3 Nov 2023,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Pada 12 Okt lepas, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial