SUKAN

MASTERS KL: DUA PEMAIN KEBANGSAAN SASAR PENAMAT PODIUM

01/11/2023 10:49 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki dan wanita negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan K. Letshanaa, berazam untuk tidak melepaskan peluang beraksi di gelanggang sendiri dengan menyasarkan penamat podium dalam saingan sulung Masters KL (Kuala Lumpur) Malaysia Super 100 2023.

Pemain bukan pilihan, Aidil Sholeh melakukan kejutan ke atas pilihan keempat dari Taiwan, Huang Yu Kai, 21-15, 21-12 hari ini, kini berhasrat untuk mencapai kedudukan podium buat kali kedua tahun ini dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini.

"Sudah pasti (untuk mendapat penamat podium). Saya juga rasa gembira dapat keputusan yang bagus dan boleh tingkatkan lagi keyakinan untuk perlawanan seterusnya.

“Pada pendapat saya, corak permainan lawan hari ini tidak berapa susah dan cara dia main pun seperti mahu tidak mahu sahaja. Saya pula tidak fikir apa-apa dan hanya mahu meraih kemenangan,” katanya kepada pemberita di zon campuran di sini.

Pemain berusia 23 tahun itu akan berdepan Cho Geonyeop selepas wakil Korea Selatan itu menyingkirkan seorang lagi pemain negara Ong Ken Yon, 21-9, 16-21, 21-12.

Bulan lepas, pemain yang menghuni ranking ke-88 dunia itu berjaya merangkul kejuaraan antarabangsa pertamanya tahun ini selepas menewaskan pemain Jepun, Keita Makino, 21-14, 21-6, pada Cabaran Antarabangsa Indonesia 2023 di Surabaya.

Sementara itu, pemain pilihan keenam Letshanaa berkongsi keyakinannya selepas melakar kemenangan bergaya pada pusingan pembukaan menentang lawannya dari Mesir, Nour Ahmed Youssri, 21-7, 21-13 dalam tempoh 23 minit.

“Ya, ia akan menjadi (penamat podium) yang hebat. Saya benar-benar mengharapkan yang terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.

Bagaimanapun, pemain ranking 58 dunia itu berkata beliau perlu banyak bersabar dalam mencari masa yang sesuai untuk mencuri mata daripada lawannya pada pusingan seterusnya.

“Saya tidak boleh terburu-buru untuk mematikan lawan yang boleh menyebabkan saya melakukan kesilapan dan akhirnya menjejaskan keyakinan saya,” katanya.

Pemain berusia 20 tahun itu akan menentang Hung Yi-Ting bagi merebut slot suku akhir esok selepas pemain Taiwan itu menyingkirkan Doha Hany dari Mesir, 21-11, 21-10.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan