JOHOR BAHRU, 31 Okt (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) komited dalam memperkasakan hubungan kerajaan dengan rakyat sebagai agensi yang diamanah dan dipertanggungjawabkan untuk memungut, mentafsir serta menyebar perangkaan terkini.
Pengarah DOSM Negeri Johor Mazreha Ya'akub berkata agensi itu antara lain menggunakan kaedah pendekatan pada Karnival Jom Heboh 2023 sebagai literasi mengenai produk yang diterbitkan untuk semua lapisan masyarakat.
"Kita mahu agar masyarakat sedar kewujudan kita dan dapat memberi respons serta maklum balas yang baik ketika melaksanakan banci ataupun tinjauan DOSM, kerana data yang boleh dipercayai itu adalah penting dalam penjanaan statistik yang dapat digunakan oleh pembuat dasar kerajaan.
"Pada masa sama, kami juga memegang mandat Kerajaan Negeri Johor yang mahukan keberadaan statistik oleh DOSM ini dirasai oleh semua," katanya dalam satu temu bual eksklusif di sini baru-baru ini.
Mazreha berkata penglibatan dalam karnival yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall di sini selama tiga hari yang berakhir pada Ahad lepas itu merupakan kali kedua bagi DOSM, dalam siri jelajah Jom Heboh di seluruh negara.
"Antara aktiviti yang diadakan ialah Kuiz Interaktif bersama pengunjung, Stats Talk, pameran produk terkini jabatan, Roda Impian dan Celik Nombor bagi pengunjung cilik.
"Selain itu, penyertaan pada karnival berkenaan juga sebagai siri terakhir dalam jelajah menyambut Hari Statistik Negara, dengan kita juga mempromosikan Banci Pertanian yang akan diadakan pada 7 Julai 2024," katanya.
Pada 20 Okt lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron berkata semua pihak di peringkat negeri diharap dapat memberikan kerjasama penuh kepada DOSM yang akan melaksanakan banci pertanian di seluruh negara, untuk memberi maklumat dan gambaran terbaik mengenai keadaan terkini bidang berkenaan.
Nor Azmie berkata pengumpulan data itu akan membantu kerajaan dalam merangka dasar dalam pertanian bagi soal keterjaminan makanan serta satu daripada tumpuan yang akan diberi adalah untuk meningkatkan pengeluaran sumber makanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial