SUKAN

"FALSE START" JEJASKAN AKSI TERAKHIR DEKWAN DI APG

27/10/2023 11:02 AM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

HANGZHOU, 27 Okt (Bernama) -- Atlet olahraga negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi terlepas peluang mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) lelaki T36 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Asia (APG) 2022 Hangzhou.

Pada aksi final berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huanglong di sini hari ini, atlet berusia 36 tahun itu dibatalkan penyertaan berikutan kesalahan false start atau salah mula sekali gus menggugat peluang sekurang-kurangnya meraih kedudukan podium pada penampilan terakhirnya di temasya empat tahun sekali itu.

Terdahulu, juara Sukan Paralimpik Rio 2016 itu berada di laluan enam, diapit kiri dan kanan seteru utama dari China, Deng Peicheng dan Yang Yifei.

Peicheng mengungguli saingan di tempat pertama dengan catatan 11.80 saat (s) diikuti Yifei di tempat kedua dengan 12.15s dan wakil Jepun Takeru Matsumoto yang merekodkan 12.38s mengakhiri saingan di tempat ketiga.

Keputusan dilakar atlet kelahiran Perlis yang turut dikenali sebagai Dekwan itu, sekali gus menyaksikan beliau pulang tanpa pingat selepas turut gagal mempertahankan emas acara lompat jauh T36 yang berlangsung pada Selasa lepas.

Beliau sekadar menamatkan acara lompat jauh itu di kedudukan keenam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan