AM

90 ACARA PELANCONGAN SEPANJANG TMP 2024 - MB

10/10/2023 10:59 PM

IPOH, 10 Okt (Bernama) -- Sebanyak 90 acara pelancongan peringkat negeri dan daerah di negeri ini dengan ‘tagline’ atau slogan 'Promising Perak' akan dilaksanakan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pelaksanaan itu sebagai persediaan negeri itu menyambut pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang tahun depan.

"Selain itu, kerja-kerja menaik taraf lokasi pelancongan dan aktiviti promosi juga giat dilakukan bagi menarik minat lebih ramai pelancong untuk datang ke Perak.  

"Pelbagai perancangan dan pelaksanaan akan dibuat sebelum dan semasa TMP 2024 dengan beberapa inisiatif serta aktiviti promosi seperti pakej khas pelancongan ‘railtourism’, pengiklanan khas di Media Prima dan Perak FM serta di laman sosial TikTok," katanya sempena majlis pelancaran ‘Perak Internal Wrapping’ perkhidmatan tren elektrik (ETS) sempena TMP 2024 hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Saarani berkata pengiklanan khas sempena TMP 2024 itu akan dilaksanakan bermula Oktober ini hingga Januari 2025 dengan mengetengahkan kelainan menerusi enam tema utama iaitu warisan, makanan, alam semulajadi, hiburan dan keluarga serta kraf tangan yang terdapat di negeri ini.

"Tema ini dipilih bagi memberikan orang ramai pengalaman merasai suasana seperti berada di negeri Perak.

"Besarlah hasrat saya agar segala usaha ini dapat memberikan impak yang baik kepada perkembangan ekonomi Perak khasnya dan negara amnya, justeru saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk melancong ke Perak," katanya.

Sementara itu, Tourism Perak Management Berhad dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan Internal Wrapping ETS merupakan pengiklanan di dalam ETS yang mengetengahkan enam tema utama berkenaan dengan elemen warna lebih terang bagi menarik minat penumpang.  

Selain itu, kod pengimbas atau QR kod juga disediakan untuk memudahkan pengguna mendapatkan secara terus informasi pelancongan di negeri ini melalui peranti pintar masing-masing.

Maklumat lanjut mengenai program sempena TMP 2024 juga boleh dilayari orang ramai di laman sesawang Tourism Perak di http://tourismperakmalaysia.com atau laman sosial rasmi Tourism Perak di Facebook, Instagram  dan TikTok.  

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan