AM

SUBSIDI BERAS IMPORT LANGKAH TEPAT ATASI ISU HARGA, BEKALAN BERAS - PENGGUNA SABAH

03/10/2023 09:17 AM

KOTA KINABALU, 3 Okt (Bernama) -- Persatuan pengguna di Sabah melihat keputusan kerajaan Persekutuan memberi subsidi RM950 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) kepada Sabah dan Sarawak, mulai 5 Okt ini, sebagai langkah tepat dalam mengatasi isu harga dan bekalan di negeri itu.

Mengalu-alukan inisiatif berkenaan, Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah David Chan berkata ia juga menjadi berita baik untuk pengguna dalam kalangan B40 dan pengusaha makanan di Sabah sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup dihadapi ketika ini.

"Beras adalah barang asas untuk setiap isi rumah. Kenaikan harga beras juga akan mempengaruhi kos sara hidup keseluruhan. Bagaimanapun, orang ramai digesa supaya tidak membuat spekulasi kekurangan beras bagi mengelakkan kekecohan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah pemberian subsidi itu akan membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram, dan tindakan tersebut diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di Sabah dan Sarawak adalah terhad.

Ia merupakan antara empat langkah intervensi tambahan dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangani isu bekalan beras dalam negara, selain mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke luar bandar termasuk di kedai runcit.

Sementara itu, Setiausaha Negeri Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah Anna Liew berkata usaha kerajaan memberi subsidi itu amat dihargai, namun keberkesanan pelaksanaannya dalam kalangan peniaga dan pengguna perlu diberi perhatian.

Katanya aktiviti pemantauan perlu ditingkatkan bagi memastikan tidak ada peniaga atau pengguna mengambil kesempatan dengan langkah kerajaan memberi subsidi kepada BPI itu.

Beberapa penduduk Sabah yang ditemui turut menyambut baik inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengatasi isu beras, termasuk memastikan bekalan sentiasa ada di pasaran pada harga berpatutan.

Rositah Gambusaleh, 40, berharap subsidi itu akan dapat mengurangkan harga beras import di pasaran lebih-lebih lagi ketika ini terdapat juga kenaikan harga barang keperluan lain yang memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan.

"Subsidi ini diharap dapat meringankan beban pengguna kerana kos sara hidup semakin meningkat," kata ibu kepada empat anak itu.

Rona Lo, 29, pula berharap penyelarasan dan pemantauan sistematik dilakukan oleh pihak berkaitan supaya subsidi dapat dilaksanakan secara berkesan, termasuk memastikan beras dijual mengikut harga ditetapkan dan bekalan sentiasa mencukupi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan