AM

UTP, MKIC MULA PROJEK PERINTIS BIOJISIM SAWIT DI TAWAU

21/09/2023 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 sept (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) hari ini memeterai perjanjian bersama Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn Bhd (MKIC) bagi memulakan projek perintis untuk mengoptimumkan penggunaan sumber biojisim sawit dan sisa lain di Sabah.

Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, berkata projek 'Pengotimuman Biojisim-Kekayaan Daripada Sisa’ akan dilaksanakan di Kilang Sawit Balung Sdn Bhd di Tawau dan disasarkan untuk mengurangkan kos elektrik dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2).

“Matlamat projek ini adalah untuk membangunkan kenderaan berat utiliti jenis hibrid untuk pelbagai jenis aktiviti perladangan menggunakan biodiesel yang diperoleh daripada sisa minyak sawit dan motor elektrik.

 “Pendekatan inovatif ini bertujuan untuk mengurangkan penggunaan bahan api diesel dan pelepasan CO2 dengan ketara, sejajar dengan komitmen Malaysia dan PETRONAS untuk mencapai pelepasan CO2 bersih-sifar dan aspirasi UTP untuk keunggulan global yang mampan,” menurut UTP dalam kenyataan, hari ini.

UTP berkata projek itu menjangkau dua tahun dan terdiri daripada tiga projek kecil, masing-masing diketuai oleh penyelidik UTP untuk menangani cabaran kritikal dalam industri minyak sawit dengan harapan teknologi inovatif daripada projek tersebut memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif 'kekayaan daripada sisa’ ini ke hadapan.

Sementara itu, Mohamed Ibrahim, berkata perjanjian itu menandakan komitmen berterusan UTP terhadap pengiktirafan antarabangsa dengan sasaran untuk menjadi penyedia penyelesaian teknologi untuk industri melalui kepakaran, pengalaman dan kemudahan penyelidikan bagi memenuhi keperluan dan piawaian industri.

"Kerjasama ini menyerlahkan kepentingan kolaborasi antara akademia-industri dan visi kemampanan kami yang sama. Kami berharap dapat meningkatkan pengeluaran, memperluaskan aplikasi dan meneroka peluang pendapatan melalui IP (Harta Intelek) yang berkaitan dengan kenderaan perladangan tugas berat hibrid, berpotensi melalui perjanjian pelesenan atau penyelesaian teknologi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MKIC, Datuk Sri Dr Sabin Samitah, berkata syarikat tersebut sedang melakukan peralihan ke arah landskap tenaga yang lebih mampan dengan penerimaan potensi biofuel dan kenderaan elektrik.

“Peralihan daripada diesel konvensional kepada biofuel yang diperoleh daripada sisa buangan mewakili satu langkah penting dalam meminimumkan jejak ekologi kita.

“Unjuran pengurangan 74 peratus dalam pelepasan CO2 menggariskan komitmen kolektif kami untuk menangani isu perubahan iklim dan menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata: “Ketika di ambang transformasi, kami mengakui bahawa perjalanan ini melangkaui teknologi atau penyelidikan...ia tertumpu kepada individu yang bersemangat memacu inovasi ini.

“Perkongsian kami dengan UTP melambangkan impak mendalam yang boleh dihasilkan oleh kerjasama antara akademia dan industri. Ia merangkumi visi bersama untuk masa depan yang lebih hijau,” katanya.

Terdahulu, perjanjian tersebut ditandatangani oleh Mohamed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MKIC, Mohd Shahrin Mohd Ali.

Majlis tersebut disaksikan Duta Kuwait di Malaysia, Rashed Mohammed Rashed AlSaleh dan Setiausaha Bahagian Asia Barat, Kementerian Luar, Datuk Zahairi Baharim.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan