EKONOMI

KIOS MOBIL PRODUK FRANCAIS TERBAHARU OLDTOWN WHITE COFFEE

18/09/2023 09:47 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Kios mobil atau ‘push cart’ di bawah jenama Oldtown White Coffee akan menjadi produk terbaharu rangkaian francais tersebut, dengan sasaran 50 kios akan dibuka pada tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd Dawn Liew.

Beliau berkata prototaip kios mobil itu telah dibangunkan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) edisi ke-19 baru-baru ini.

Menurut Liew, kios mobil berukuran 150 kaki persegi itu yang memerlukan modal perniagaan serendah RM200,000 untuk beroperasi, bergantung kepada lokasi kios, akan ditempatkan di lokasi tumpuan orang ramai seperti stesen pengangkutan awam, bangunan pejabat dan stadium.

“Kami percaya sasaran (50 kios mobil) itu dapat dicapai dan ini juga bermaksud seseorang francaisi mampu memiliki lebih daripada satu push cart,” katanya kepada Bernama selepas Sambutan Ulang Tahun ke-18 Oldtown White Coffee, di sini ,hari ini.

Beliau berkata, kios berkenaan boleh digerakkan antara satu lokasi ke lokasi lain serta dilengkapi dengan kemudahan penyediaan makanan dan minuman.

Antara makanan yang akan dijual termasuklah nasi lemak, bihun goreng, pelbagai jenis roti dan juga tiga jenis minuman.

“Dapur utama (central kitchen) kami juga mampu membekalkan bekalan makanan secara tetap kepada kios supaya mereka tidak perlu simpan stok yang banyak di premis,” katanya.

Sementara itu Liew berkata, syarikat tersebut juga hampir mencapai sasaran membuka 50 cawangan baharu Oldtown White Coffee tahun ini.

“Setakat ini kami ada 34 cawangan (outlet) di Malaysia dan lapan cawangan di Singapura, Hong Kong, Filipina dan Indonesia, sudah sangat hampir dengan sasaran,” katanya.

Beliau berkata beberapa outlet juga akan dibuka di Kedah dan Pulau Pinang dalam masa terdekat selain berhasrat menambah outlet di Kelantan.

Kelantan kini mempunyai tiga outlet Oldtown White Coffee.

Menurutnya, modal untuk mengusahakan pakej perniagaan francais bagi restoran Oldtown White Coffee adalah antara RM800,000 dan RM 1 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan