EKONOMI

CAPE EMS BELI ICONN INC BERPANGKALAN DI AS BERNILAI RM76.6 JUTA

18/09/2023 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Cape EMS Bhd membeli 50,072 saham biasa dalam syarikat iConn Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, mewakili semua saham modal terbitan bernilai kira-kira RM76.6 juta. 

Berikutan cadangan pembelian itu, syarikat telah memeterai perjanjian belian saham bersyarat dengan beberapa pihak seperti Hidirlar Family Trust, Rabia Hidirlar Investment Trust, Turker Hidirlar dan Low Kim Teck Henry.

“Selepas selesai cadangan pembelian ini, iConn akan menjadi anak syarikat milik penuh syarikat ini,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurutnya pembelian itu adalah sejajar dengan fokus strategik Cape EMS dari segi kecekapan terasnya menyediakan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) bagi barangan elektronik.

Cape EMS berkata pihaknya turut bercadang melaksanakan tawaran persendirian sebanyak 92.3 juta saham biasa baharu dalam Cape EMS, mewakili sehingga 10 peratus daripada jumlah saham terbitan sedia ada, tidak termasuk saham perbendaharaan kepada pelabur bebas pihak ketiga yang akan dikenal pasti dan dengan harga terbitan yang akan ditentukan kemudian.

Menurutnya berdasarkan harga tawaran indikatif sebanyak RM1.15, cadangan itu akan meningkatkan hasil kasar kira-kira RM106.1 juta dan berhasrat menggunakan RM76.6 juta bagi menyelesaikan pertimbangan belian Iconn.

Menurutnya, pada masa depan, strategi menyeluruh syarikat adalah untuk terus menumpukan kepada kecekapan terasnya dalam menyediakan EMS bagi barangan elektronik, terutamanya produk elektronik perindustrian yang dipacu oleh segmen tuangan acuan dan pemesinan Cape EMS.

Kumpulan iConn terlibat dalam menyediakan penyelesaian pembuatan elektronik maya, antara lainnya melibatkan reka bentuk bagi perkhidmatan pembuatan, kejuruteraan, penggudangan dan penyumberan yang berperanan sebagai sumber kepada pengilang untuk melaksanakan pembuatan komponen elektronik, subpemasangan dan menyiapkan pemasangan produk.

iConn adalah pelanggan dan pembekal sedia ada Cape EMS, dengan kumpulan Cape EMS menyediakan EMS kepada iConn untuk pusat akses berasaskan teknologi dan radas mekanik bagi sains hayat dan peralatan perubatan termaju.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan