KUANTAN, 15 Sept (Bernama) -- Eksesais Pacific Partnership 2023 selama 10 hari sejak 5 Sept lepas di bandar raya ini berjaya mencapai matlamat penganjurannya, menurut komander misi Kapten Claudine Caluori daripada Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata matlamat misi persediaan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) tahunan terbesar di Indo-Pasifik itu ialah menggalakkan kebolehoperasian dan kerjasama berbagai negara menerusi pelbagai usaha bagi membina daya tahan serantau dan kemampuan tindak balas bencana.
"Kami telah menyesuaikan projek bagi memenuhi keperluan mengikut permintaan setiap negara. Misalnya, pasukan perubatan kami yang terdiri daripada rakan negara lain telah mengadakan 49 program perubatan di sini termasuk program kesihatan bersama masyarakat dan simposium perubatan dalam pelbagai bidang seperti fisioterapi, pergigian serta optometri.
"Kami turut mengadakan simposium veterinar dan pelbagai program lain dengan kehadiran lebih 150 peladang dan doktor veterinar serta lebih 120 haiwan dirawat,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan eksesais berkenaan di atas Kapal USS Pearl Harbor di Terminal Laut Dalam, Pelabuhan Kuantan hari ini.
Latihan pertukaran kepakaran selama empat hari berkaitan keupayaan dan teknik selaman khusus untuk menyokong misi HADR turut diadakan di Akademi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang disertai penyelam daripada APMM, Tentera Laut Korea Selatan, Tentera Laut Diraja Britain dan AS serta pengawal pantai AS.
Beliau berkata antara topik diketengahkan meliputi teknik menyelam dan prosedur kecemasan untuk penyelam.
"Kami turut melakukan pembaikan terhadap tangki air di Sekolah Kebangsaan Pandan (di Kuantan), yang hasilnya amat mengagumkan. Jurutera (daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, US Navy Construction Batallion dan Republic of Korean Navy Construction Batallion) bekerja dalam dua syif bagi menyiapkan kerja tepat pada masanya,” katanya.
Caluori turut memuji layanan rakyat Malaysia yang menyambut kehadiran mereka dengan mesra selain menyifatkan makanan di sini sebagai ‘luar biasa’ dan enak.
Sementara itu, Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama menerusi kenyataan memaklumkan eksesais tahunan di bawah inisiatif United State Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dan dilaksanakan oleh United State Pacific Fleet (USPACFLT) itu pertama kali diadakan pada 2006 ekoran bencana tsunami yang berlaku di Acheh, Indonesia pada 2004.
Penglibatan pertama Malaysia dalam eksesais itu ialah pada 2016 di Kuantan selain turut pernah dilaksanakan di Mersing, Johor dan Kuching, Sarawak.
Selain angkatan tentera, ia melibatkan pelbagai agensi antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Universiti Islam Antarabangsa, polis, bomba, Agensi Pertahanan Malaysia (APM), APMM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Eksesais itu ditafsirkan mencapai objektifnya kerana semua aktiviti yang dirancang telah berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kecederaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial