POLITIK

Prk: Jangan Terlalu Yakin Penyokong Bn Akan Undi Calon Ph - Mohamed Khaled

01/09/2023 08:58 PM

JOHOR BAHRU, 1 Sept (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan jentera BN supaya jangan terlalu yakin bahawa penyokong parti itu akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH)  pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram nanti.

Mohamed Khaled berkata ini berikutan ada penyokong tegar parti itu masih keliru dengan ketiadaan calon BN yang bertanding dalam PRK berkenaan selain wujud dalam kalangan mereka yang masih tidak dapat menerima kerjasama antara PH-BN.

"Ini pertama kali berlaku kita bersama (PH-BN), kerana sembilan bulan lepas kita berlawan. Maka, kita perlu urus keserasian dan ini satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan memandangkan Johor tidak terlibat dengan Pilihan Raya Negeri enam negeri yang mendukung Kerajaan Perpaduan sebelum ini. 

Saya sebutkan banyak kali, BN tidak bertanding, jadi penyokong tegar BN mungkin tengok apabila BN tidak bertanding, dia mungkin tidak tahu siapa yang dia nak (undi) dan perkara ini kita perlu uruskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di sini hari ini.

Mengulas tentang perkembangan kempen setakat ini, Naib Presiden UMNO itu berkata respons yang diterima daripada masyarakat adalah baik dan pengundi semakin faham berhubung kepentingan kerjasama antara PH-BN.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata wakil setiap Bahagian UMNO turut diletakkan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam usaha membantu kempen PRK kali ini bagi memastikan penyokong terus diberi kefahaman dan mengelak kekeliruan.

"Dengan usaha yang dilakukan, kita dapati ada kemajuan dalam kefahaman mereka untuk bersama dalam menjayakan hasrat parti. Apabila kita membuat pertemuan, maklum balas yang diterima amat baik.

Kalah menang itu perkara biasa, yang penting sehingga hari mengundi nanti, kita kena bekerja kuat. Walaupun kita dianggap boleh menang, tetapi kita akan terus bekerja. Itu pendekatan yang diambil dan kita tidak mahu membuat sebarang ramalan," katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandang kedua-dua kerusi tersebut Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept, diikuti hari pengundian 9 Sept.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan