SUKAN

Sivasangari Rangkul Trofi Tuanku Muhriz 2023

27/08/2023 09:37 PM

SEREMBAN, 27 Ogos (Bernama) -- Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari menampilkan aksi cemerlang apabila merangkul Trofi Tuanku Muhriz 2023 setelah menewaskan rakan senegara dan juara bertahan, Aira Azman dalam perlawanan akhir di Kompleks Squash, di sini, hari ini.

Atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu hanya mengambil masa 27 minit untuk mengetepikan cabaran Aira dengan kemenangan  straight set 11-8, 11-8, 11-9 untuk merangkul gelaran sulungnya musim ini.

Ketika ditemui pemberita, pemain pilihan utama kejohanan itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai penyuntik semangat dan keyakinannya selepas berehat panjang akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Beliau yang kini menduduki ranking ke-49 dunia itu berkata kemenangan itu juga sebagai persediaan terbaik bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 di China dari 23 Sept hingga 8 Okt ini.

“Saya gembira memenangi pertandingan ini. Ia bagus untuk saya kerana hanya mempunyai dua kejohanan sebelum Sukan Asia. Sukan Asia adalah temasya besar dan saya telah menetapkan matlamat untuk melakukannya dengan sangat baik,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Sementara itu, Aira, yang akur dengan kehebatan Sivasangari berkata perlawanan berkenaan sebagai pendedahan terbaik buatnya bagi menghadapi temasya Sukan Asia nanti.

“Selepas ini saya akan fokus kepada Sukan Asia kerana ia penyertaan pertama saya dan sudah tentu saingannya lebih sukar dan bukan mudah untuk mencipta kejayaan, namun saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik dan mendapatkan keputusan memuaskan,” katanya.

Sementara itu, dalam kategori lelaki pula menyaksikan pemain Mesir, Aly Hussein muncul juara selepas mengejutkan pilihan kedua Muhammad Asim Khan dari Pakistan 11-3, 11-1, 11-4.

Trofi Tuanku Muhriz merupakan kejohanan berstatus Jelajah Cabaran PSA (Persatuan Skuasy Profesional) iaitu kejohanan dalam kelas lebih rendah berbanding Jelajah Dunia PSA.

Majlis penyampaian pingat disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Penaung Persatuan Squasy Negeri Sembilan.

Turut berangkat menyaksikan perlawanan akhir itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Terdahulu, Tuanku Muhriz turut merasmikan gelanggang pusat skuasy berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan