EKONOMI

SOLARVEST PERKASA INISIATIF HIJAU BROMMA MENERUSI PENYELESAIAN TENAGA BERSIH

25/05/2023 08:21 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Pakar tenaga bersih, Solarvest Holdings Bhd telah menyelesaikan projek pemasangan fotovolta (PV) solar bahagian atas bumbung 1.1 megawatt-puncak (MWp) untuk syarikat Sweden, Bromma (M) Sdn Bhd di kilang pembuatannya di Chemor, Perak.

Solarvest menjelaskan pihaknya berperanan sebagai penyedia kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) untuk pemasangan panel PV solar bahagian atas bumbung, dengan penjanaan elektrik bersih tahunan diunjurkan sebanyak 1,497.8 megawatt-jam (MWh).

“Ini membolehkan Bromma mengurangkan 957 tan pelepasan karbon dioksida, yang bersamaan dengan kesan penulenan udara 43,505 pokok matang,” menurutnya dalam kenyataan bersama dengan Bromma dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) pada Rabu.

Mengenai penyiapan projek pemasangan PV solar untuk Bromma, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mida (Penggalakan dan Pemudahan Pelaburan), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata pihaknya memberi komitmen penuh untuk menyokong perniagaan dan pelabur sepanjang usaha mereka di Malaysia.

Beliau berkata baru-baru ini, kerajaan Malaysia mengumumkan dasar berwawasan yang menekankan kepentingan sumber tenaga bersih, dan dedikasi Bromma terhadap tenaga boleh baharu hadir pada masa yang tepat.

“Menerusi penerimagunaan tenaga solar, Bromma bukan sahaja mengurangkan kesan alam sekitar mereka malah juga menyumbang secara aktif kepada matlamat negara kita untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu kepada 70 peratus menjelang 2050.

“Mereka mengorak langkah untuk masa depan yang lebih cerah dan lebih lestari,” katanya.

Sivasuriyamoorthy berkata amalan kemampanan telah dilaksanakan dengan menerima guna prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang pastinya akan menggalakkan pertumbuhan mampan menerusi tindakan menangani isu berkaitan perubahan iklim.

“Ini seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk memastikan negara kekal sebagai destinasi kompetitif untuk pelaburan bernilai tinggi, merealisasikan pertumbuhan ekonomi mampan dan holistik,” katanya.

Pengarah Eksekutif dan CEO Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata dengan memanfaatkan kepakaran syarikat dalam penyelesaian kejuruteraan dan teknikal siap guna, pihaknya yakin dapat membantu Bromma mencapai sasaran kecekapan tenaga melalui sistem PV solar.

“Menerusi usaha kemampanan yang menjadi agenda korporat penting, kami menjangkakan minat terhadap penerimagunaan tenaga bersih meningkat,” katanya.

Beliau berkata beberapa projek dalam perancangan pihaknya kekal kukuh, dengan nilai perolehan kontrak dalam tangan berjumlah 2.5 gigawatt (GW) meliputi loji jana kuasa berskala besar, projek komersial dan perindustrian serta usaha niaga luar negara.

Presiden Bromma, ShuShu Zhang berkata pihaknya komited untuk membantu mengurangkan jejak karbon dengan merendahkan pelepasan gas rumah hijau pada 2030, sebagai sebahagian daripada matlamat  iklim syarikat bagi mengehadkan kenaikan suhu global sebanyak 1.5 darjah Celsius setahun.

“Dalam mencapai objektif ini, kami mahu beralih kepada tenaga solar untuk menggalakkan penggunaan elektrik bersih dan pengurangan pelepasan.

“Selain mengurangkan impak alam sekitar daripada operasi kami, kami juga menyasar untuk mengurangkan risiko kenaikan kos elektrik menerusi penggunaan tenaga solar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan