AM

PROGRAM SEKOLAH MAHARANI YAYASAN RYTHM BINA KEYAKINAN DIRI REMAJA WANITA

24/05/2023 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Program Sekolah Maharani Yayasan RYTHM  (MSP) selama enam bulan yang berlangsung di lima buah sekolah kebangsaan, telah berjaya meningkatkan keyakinan diri kepada lebih 200 remaja perempuan yang menyertai program itu.

Yayasan RYTHM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, laporan yang telah dihasilkan untuk menilai hasil program yang berlangsung antara Julai dan Disember tahun lepas  itu menunjukkan bahawa, MSP telah memperkasakan ramai peserta untuk mengatasi ketakutan mereka, mengatasi rasa tidak selamat dan memupuk kemahiran pertumbuhan akademik dan peribadi yang penting.

Ketua Yayasan RYTHM Santhi Periasamy berkata sesi dan kelas bimbingan akademik telah membantu pelajar menemui kekuatan dalaman mereka, meningkatkan harga diri dan membangunkan etika belajar yang baik.

“Hasil dari pemantauan dan penilaian MSP mendapati, 90 peratus peserta menunjukkan impak positif dan keyakinan diri,” katanya sambil menambah bahawa kesemua mereka memperoleh kemahiran penetapan matlamat yang tidak ternilai, melengkapkan mereka dengan persediaan untuk pertumbuhan dan pencapaian peribadi.

Peringkat ‘Kenal Diri Sendiri’ tahunan MSP, melibatkan pelajar berusia 14-16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia, SMK Bandar Rinching, SMK Batu Unjur, SMK Tengku Idris Shah dan SMK Tengku Ampuan Jemaah, telah memfokuskan kepada golongan remaja dari isi rumah berpendapatan rendah bagi menangani jurang pendidikan dalam komuniti kurang bernasib baik.

Laporan itu menyatakan, MSP satu inisiatif impak sosial Kumpulan QI yang disokong Kementerian Pendidikan telah bekerjasama dengan Yayasan PINTAR iaitu sebuah pertubuhan pendidikan bukan berasaskan keuntungan pada awal 2022, bagi memperkenalkan program MSP di sekolah-sekolah tersebut.

“Program ini dikendalikan lima fasilitator yang dilatih RYTHM, yang mencatatkan masa 1,600 jam - bersamaan dengan 60 hari persekolahan - bersama pelajar, menyediakan modul latihan holistik lapan sesi yang meliputi pengenalan identiti, jantina, etnik dan budaya, kesihatan reproduktif, imej, perhubungan, hak kanak-kanak dan penetapan matlamat,” katanya.

Sementara itu, laporan tersebut mendapati, pelajar telah menunjukkan peningkatan dalam penglibatan  pada sepanjang program itu berlangsung dan kebanyakannya menjadi lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah yang dihadapi di sekolah dan rumah.

Menurut laporan yang dikeluarkan, semasa fasa pertama, remaja wanita tersebut menemui kekuatan dalaman mereka dan meningkatkan harga diri mereka melalui sesi biasa dan kelas bimbingan akademik, dan program itu membolehkan peserta membentuk keperibadian, menggalakkan untuk bekerja keras dan membangunkan rasa tanggungjawab.

“Walaupun minat dan penyertaan dalam program selepas waktu sekolah pada awalnya rendah, namun kebanyakannya belajar untuk mengekspresi diri mereka dengan lebih baik pada akhir program. Satu aspek penting ialah pembimbing berjaya mendapat kepercayaan dari setiap pelajar dan memberikan impak yang besar dalam kehidupan mereka,” menurut laporan itu.

Sejak penubuhannya pada 2010 di Sungai Siput, Perak, MSP telah memberi kesan kepada kehidupan lebih 8,000 remaja.

Dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran hidup dan bimbingan akademik, laporan itu menunjukan bahawa program itu telah terbukti sebagai contoh inspirasi intervensi yang disasarkan yang menghasilkan hasil positif yang nyata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan