KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) optimis untuk mencapai 500 produk berteknologi nano diperakui menjelang 2030, meningkat daripada sasaran awalnya sebanyak 300 barangan.
Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata unjuran optimis itu dibuat berikutan respons positif yang dipamerkan dari tempoh 2021 hingga 2022 dengan sejumlah 74 pensijilan produk dicapai, melepasi sasaran awal sebanyak 50 barangan dalam tempoh yang berkenaan.
“Pasaran teknologi nano dijangka mengalami peningkatan ketara, melonjak daripada US$7.33 bilion pada 2022 kepada US$114.54 bilion dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkompaun (CAGR) sebanyak 41 peratus dalam tempoh yang diramalkan antara 2023 hingga 2030.
Negara ini telah menjadi sebuah hab penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi nano yang dikenali dengan pertumbuhan kelompok penyelidik berkemahiran, institusi penyelidikan bertaraf dunia dan sebuah persekitaran yang mempunyai sokongan dasar. Kami berada dalam keadaan baik untuk muncul selaku salah satu peneraju dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan “NANOTrust dan GRAPHENEVerify”, yang merupakan satu skim pensijilan baharu untuk kemajuan industri teknologi nano dan grafin di Malaysia di bawah seliaan NanoMalaysia Berhad dan NanoVerify Sdn Bhd
Mengulas mengenai pelancaran skim pensijilan baharu itu, beliau berkata ia selari dengan teras Malaysia MADANI, kestabilan, inovasi dan keyakinan untuk memacu sektor teknologi nano sebagai sebuah jentera pertumbuhan negara.
“Skim Pensijilan Produk NANOTrust dan GRAPHENEVerify, di bawah Program NANOVerify menawarkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana dengan produk yang mempunyai unsur nano bagi mendapatkan kewibawaan dan keyakinan untuk menembusi pasaran yang lebih luas, di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“MOSTI berbangga menyokong NanoMalaysia Berhad dan NanoVerify Sdn Bhd di atas pengenalan skim ini. Sokongan seperti ini akan memperkasakan pertumbuhan lebih 1,000 segmen produk teknologi nano dan grafin dengan anggaran nilai kolektif sebanyak RM640 juta menjelang 2025,” katanya.
Pada majlis itu 29 syarikat daripada sektor kosmetik, industri, minuman dan makanan diberikan sijil untuk produk mereka yang dikeluarkan menerusi skim berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial