SUKAN

AB RAUF DIUMUMKAN SEBAGAI PRESIDEN MAFA

02/05/2023 05:31 PM

MELAKA, 2 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) yang baharu, menggantikan Datuk Nur Azmi Ahmad.

MAFA dalam kenyataannya hari ini memaklumkan perkara itu diputuskan semalam, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA di Wisma MAFA yang dipengerusikan Timbalan Presidennya Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

“Mengikut perlembagaan MAFA, Ketua Menteri Melaka yang baharu secara automatik akan menyandang jawatan presiden.

“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan menerajui persatuan dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri,” menurut kenyataan itu.

MAFA menerusi kenyataan itu juga mengharapkan agar sentuhan Ab Rauf akan membawa sukan bola sepak Melaka ke tahap lebih membanggakan, sekali gus meletakkan nama negeri ini gah dalam sukan nombor satu dunia itu pada masa hadapan.

MAFA turut merakamkan ribuan terima kasih atas segala jasa dan bakti Nur Azmi yang telah memimpin persatuan sejak Ogos tahun lepas

“Antara sumbangan beliau ialah penubuhan kelab bola sepak Melaka FC yang kini sedang bersaing dalam saingan Liga M3, selain penganjuran Kejohanan Piala TYT Melaka (Governor Cup) dan pembangunan akar umbi.

“Segala jasa dan sumbangan beliau kepada bola sepak Melaka, akan terus diabadikan dalam lipatan sejarah bola sepak negeri ini sebagai antara presiden persatuan, yang kini hampir menginjak satu abad penubuhannya pada 1924,” menurut kenyataan itu.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-13 di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada 31 Mac.

Statut persatuan itu menyatakan, individu dipilih sebagai ketua menteri secara automatik adalah presiden persatuan bola sepak negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan