AM

KONFLIK DI SUDAN: PELAJAR MALAYSIA GIGIL DENGAR BUNYI TEMBAKAN

28/04/2023 09:02 PM

SEPANG, 28 April (Bernama) -- Abdul Rahman Mohd Noh, pelajar maahad tahun pertama di Khartoum, Sudan, menyifatkan keputusan untuk kembali ke tanah air bukan mudah namun terpaksa diambil memandangkan situasi konflik bertambah buruk di negara tersebut.

Abdul Rahman, 25, adalah antara 30 rakyat Malaysia yang diselamatkan dalam Ops Sudan dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.54 petang menerusi penerbangan Saudi Arabian Airlines SV834 dari Jeddah.

Bercakap kepada media di sini hari ini, beliau berkata berada di negara konflik adalah pengalaman pertama baginya dan beliau menggigil apabila terdengar bunyi tembakan dan letupan bom.

"Kadang-kadang keadaan okey dan ada masanya bertukar buruk. Masa itu fikir nak balik pun (pulang ke Malaysia) berkali-kali sebab nak menghabiskan pelajaran.

"Apabila Kedutaan Malaysia terancam dengan peluru sesat, saya buat keputusan balik kerana situasi di Sudan tidak nampak jalan penghujung," katanya yang kelihatan masih penat selepas menempuh perjalanan lebih 30 jam dari Khartoum ke Port Sudan sebelum dibawa keluar ke Jeddah.

Konflik bersenjata antara Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) tercetus di Khartoum dan kawasan sekitar pada 15 April lepas telah mengorbankan lebih 400 orang manakala lebih 3,500 cedera.

Anak kelahiran Selangor itu berkata sejak konflik yang tercetus 15 April lepas, liputan Internet sukar dicapai dan beliau tidak dapat menghubungi ahli keluarga.

"Pergerakan keluar dari Khartoum ke Port Sudan sepanjang jalan itu ada sekatan antara daerah oleh tentera dan ketika itu saya berserah sahaja kerana kejadian tembak menembak masih rancak," katanya dan menambah setiba di Port Sudan, masih ada tentera namun tiada tembak-menembak seteruk di Khartoum.

Abdul Rahman berkata meskipun konflik di Sudan dilihat tiada penghujung, beliau tetap berdoa agar semuanya beransur baik kerana berhasrat untuk menyambung pelajaran di sana.

Sementara itu, pekerja Petronas, Azim Rosli berkata beliau sepatutnya pulang ke Malaysia pada 18 April lepas untuk Ramadan namun tidak kesampaian kerana konflik di Sudan tercetus pada 15 April lepas.

"Situasi kali ini dianggap buruk walaupun ada kejadian tembak menembak pada 2021 (rampasan kuasa Sudan). Cuma kali ini saya teragak-agak bila situasi akan reda," katanya yang sudah tiga tahun bekerja di Petronas di Sudan.

Anak kelahiran Kelantan itu berkata sejak tercetus konflik pada 15 April lepas, beliau sukar untuk melelapkan mata kerana "sehari tidur dan sehari kemudian kena bersembunyi" kerana risau terkena peluru sesat.

Katanya Kompleks Petronas telah ditawan RSF untuk dijadikan tempat pemerhatian kerana bangunan itu tinggi yang dapat melihat keadaan sekeliling manakala sebelum kejadian itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia ada memaklumkan supaya menyediakan makanan secukupnya sebab tidak tahu bila konflik itu akan tercetus.

Bagi Amirul Husni Sahar, 38, yang berkhidmat sebagai Setiausaha 1 Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, keputusan untuk mengumpul semua rakyat Malaysia adalah kerana situasi konflik yang berterusan.

"Ia (konflik) tidak mengancam warga asing tetapi peluru tidak kenal mangsa. Itu keputusan diambil untuk semua rakyat Malaysia berkumpul supaya dapat elak perkara yang tidak diingini," katanya dan menambah kedutaan terletak di tengah-tengah kawasan pertempuran.

Beliau bersama isteri, Siti Nur Aminah Khatijah Shamsuddin, 37, serta dua anak dipindahkan ke Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum pada Januari lepas dari Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan