DUNIA

PERSIAPAN SUKAN ASIA HANGZHOU BERJALAN LANCAR

28/04/2023 04:36 PM

BEIJING, 28 April (Bernama)  -- Aktiviti kebudayaan sempena penganjuran Sukan Asia Hangzhou telah pun selesai di Beijing pada Khamis.

Terdahulu, aktiviti sama telah diadakan di bandar lain iaitu Shanghai, Xi’an, Tianjin, Wuhan, Chengdu, Xiamen, Nanjing, Guangzhou dan Zhuhai.

Ketua Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia ke-19 merangkap Timbalan Datuk Bandar Hangzhou, Chen Weiqiang berkata pihaknya berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan termasuk semua venue terbabit hampir selesai dibina dan persiapan untuk pengoperasian sukan berjalan lancar.

“Jadual pertandingan versi 2.0. sudah pun dikeluarkan termasuk  pendaftaran kali kedua untuk pertandingan sudah selesai dan sebanyak lebih 1,500 pegawai teknikal antarabangsa untuk Sukan Asia sudah ditetapkan.

“Dijangka terdapat 50 pertandingan ujian yang bakal diadakan dengan tujuh daripadanya adalah pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut laporan berkenaan, kampung Sukan Asia dan cawangannya sudah bersedia untuk menyambut kedatangan atlet, pegawai dan pekerja yang berjumlah lebih 30,000 orang dari pelbagai tempat di Asia.

Dalam aktiviti sambutan sukan di Beijing itu, pihak penganjur turut melancarkan video muzik (MV) lagu tema rasmi Sukan Asia ke-19 di Hangzhou.

Pihak penganjur Sukan Asia Hangzhou komited untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih mudah kepada atlet, pekerja dan penonton melalui teknologi digital.

Pingat yang direka bentuk untuk Sukan Asia ke-19 yang dijadualkan dirasmikan di Hangzhou pada 23 September nanti akan diumumkan pada 15 Jun, iaitu hari pertama bermulanya kira detik 100 hari sebelum temasya sukan itu.

Aktiviti larian obor serta pelbagai aktiviti kebudayaan juga dijadual akan dilancarkan tidak lama lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan