AM

Penipuan Skim Pelaburan: Pastikan Syarikat Pelaburan Punyai Prospektus - Mho

28/04/2023 12:29 AM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Orang ramai yang ingin membuat pelaburan yang ditawarkan mana-mana syarikat perlu memastikan syarikat berkenaan mempunyai dokumen prospektus disahkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mengelak terjebak penipuan skim pelaburan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata prospektus merupakan dokumen untuk penawaran saham yang membantu pelabur membuat keputusan pelaburan dengan maklumat yang lebih banyak. 

"Antara yang menarik berkenaan prospektus ini adalah dinyatakan juga risiko bagi pelaburan tersebut. Laburlah dalam sesebuah syarikat yang telah dikawal selia, yang ada pematuhan, yang ada prospektus diluluskan SC," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Beliau berkata ramai terkeliru dengan memorandum maklumat yang dikeluarkan sesebuah syarikat sehingga membuat pelaburan.

“Memorandum maklumat ini menceritakan tentang butiran pelaburan tapi ia tidak ada semak dan imbang, bagi para pelabur, melaburlah pada syarikat yang ada diluluskan prospektusnya," katanya. 

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata siasatan melibatkan kes penipuan skim pelaburan memerlukan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, SC dan Bank Negara.

Menurut Musa ini disebabkan kesalahan dalam penipuan skim pelaburan melibatkan pelbagai akta antaranya Kanun Keseksaan, Akta Syarikat 2016, Akta  Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan