AM

JENAZAH TOKOH PENDIDIKAN, DR FATIMAH HAMID DON SELAMAT DIKEBUMIKAN

26/04/2023 04:50 PM

PETALING JAYA, 26 April (Bernama) -- Jenazah Tokoh Pendidikan dan Profesor wanita Melayu pertama Puan Sri Profesor Emeritus Dr Fatimah Hamid Don selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, di sini pada 2.45 petang ini.

Allahyarham yang juga merupakan bekas Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) bermula tahun 1978 hingga 1990 menghembuskan nafas terakhir  ketika dalam fasa pemulihan setelah berjuang melawan penyakit strok sejak setahun lepas, di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur pada 2.35 pagi tadi.

Bekas Dekan Fakulti Pendidikan UM Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, ketika ditemui berkata pemergian Fatimah iaitu mentornya ketika di UM, adalah perkara yang pahit untuk ditelan, mengenangkan segala tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Allahyarham dalam memupuk ilmuan sepertinya.

"Dia seorang yang tegas dan berilmu tinggi dalam bidang pendidikan kurikulum sangat bagus dari segi pentadbiran dan perhubungannya dengan kita (staf dan pensyarah-pensyarah)...sepanjang hayatnya khidmatnya sangat cemerlang bagi saya.

Sewaktu dia menjadi dekan, saya merupakan timbalan dekan beliau dan dia banyak memberi tunjuk ajar dan juga sewaktu saya mengambil diploma pendidikan dia merupakan pensyarah saya jadi dia antara orang yang banyak memberi pengajaran dan panduan sewaktu dia menjadi dekan dan guru saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz di sini hari ini.

Turut bersedih dengan pemergian Allahyarham ialah bekas Naib Canselor UM Profesor Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob berkata ketika menjawat jawatan berkenaan beliau merupakan individu yang mengusulkan Allahyarham untuk diberikan gelaran Profesor Emeritus dengan  mengambil kira sumbangannya yang cemerlang dalam bidang pendidikan.

"Allahyarham banyak menyumbangkan idea yang segar dalam menaikkan kualiti pendidikan negara dan beliau merupakan seorang nama yang hebat dan disegani dalam bidang pendidikan oleh sebab itu kami di UM iktiraf dia pada ketika itu," katanya.

Fatimah memulakan kerjaya sebagai pembantu pensyarah pada 1964 di Fakulti Pendidikan, UM dan seterusnya dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum yang juga Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan sekali gus menjadi wanita Melayu pertama yang dilantik menjadi profesor.

Fatimah bersara sebagai profesor pada 1990 setelah 26 tahun dalam perkhidmatan.

Allahyarham juga terbabit menghasilkan draf Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dan laporan persidangan wanita sedunia PBB serta laporan “Convention on the Right of the Child” (CRC) dan “Convention on the Elimination of All Forums of Discrimination Against Women” (CEDAW).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan