EKONOMI

Pengeluaran Gas Pertama Projek Rosmari-marjoram Menjelang Akhir 2026 - Shell

24/04/2023 10:39 PM

KUCHING, 24 April (Bernama) -- Projek Rosmari-Marjoram oleh Sarawak Shell Bhd yang juga anak syarikat Shell Plc, dengan kerjasama Petronas Carigali Sdn Bhd di Bintulu, dijangka mengeluarkan gas pertamanya menjelang akhir 2026.

Pengerusi Negara Shell Malaysia, Siti  Sulaiman berkata projek itu dijangka dapat menghasilkan kira-kira 800 juta kaki padu standard gas sehari.

“Ini adalah antara projek terbesar Shell di Malaysia yang turut menjadi kemajuan besar bagi perniagaan minyak dan gas huluan di Sarawak," katanya pada majlis rumah terbuka Shell di sebuah hotel di sini, hari ini.

Selain itu, Siti berkata ibu pejabat Shell yang ketika ini terletak di Lutong, akan berpindah ke Miri Times Square menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, kemudahan itu juga merupakan ibu pejabat Shell di Miri untuk Sabah dan Sarawak.

“Dalam bulan ini, kami telah mengumpulkan beberapa anggota pasukan teknikal dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Miri. Ini bermakna kedudukan kami di Miri kini jauh lebih besar berbanding sebelumnya," katanya.

Projek Rosmari-Marjoram yang terletak 220 kilometer di luar pesisir Bintulu, Sarawak dilengkapi dengan saluran paip sepanjang 207 kilometer ke daratan serta loji gas di darat yang membantu dalam memastikan bekalan gas berterusan ke Kompleks LNG Petronas di Bintulu.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan