EKONOMI

FUNDING SOCIETIES SALUR PEMBIAYAAN BERJUMLAH RM13.4 BILION BAGI MEMPERKUKUH PKS DI ASIA TENGGARA

18/04/2023 05:18 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Funding Societies, platform kewangan digital untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), telah menyalurkan sejumlah RM13.4 bilion bagi membiayai pinjaman lebih lima juta transaksi kepada PKS di seluruh Asia Tenggara sejak 2015.

Ia berkata hampir 100,000 PKS telah mendapat manfaat daripada akses pembiayaan ketika syarikat itu terus berkembang di lima buah negara di rantau ini.

“Di Malaysia, platform ini telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM2 bilion sejak 2017,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kelvin Teo berkata, 2022 adalah tahun yang penting untuk Funding Societies walaupun berdepan dengan persekitaran makro yang tidak menentu.

“Kami komited untuk memperkasakan PKS di rantau ini, kami telah memperluas skala perniagaan di Thailand dan Vietnam, memperhalusi cadangan bagi pembiayaan setempat dan memperoleh kredit pertama kami dari bank komersial global HSBC yang berjumlah RM224 juta.

"Kami juga menceburi perniagaan pembayaran dengan CardUp dan pelaburan ke dalam Bank Index, kerana keperluan PKS menjangkaui pembiayaan," katanya.

Ketua Negara Funding Societies di Malaysia, Chai Kien Poon berkata, PKS sentiasa memerlukan sokongan kewangan tambahan kerana mereka menyumbang kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus pada 2023.

“Sambil bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan, kami berharap untuk meneruskan pertumbuhan kami dan memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia dan masyarakat dengan memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mewujudkan dan menyokong pekerjaan,” tambahnya.

Funding Societies berkata ia akan terus menyokong PKS yang kurang mendapat perkhidmatan melalui pelbagai penyelesaian pembiayaan jangka pendek sambil mencatatkan kadar mungkir kurang daripada dua peratus di keseluruhan kohort platform itu.

Ia berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta memperoleh lesen di Singapura, Indonesia, Thailand dan beroperasi di Vietnam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan