AM

GUNA WIFI PERCUMA DI MASJID, SURAU UNTUK PERKARA BERMANFAAT - MB JOHOR

17/04/2023 11:10 PM

JOHOR BAHRU, 17 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor berharap kemudahan WiFi yang disediakan secara percuma di masjid dan surau di negeri itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya, terutama oleh golongan muda. 

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif itu disediakan untuk memberi kemudahan kepada jemaah termasuk orang muda Johor mendapatkan akses Internet bagi tujuan pembelajaran, celik maklumat dan pelbagai aktiviti pengimarahan.

Beliau berkata kerajaan negeri turut berharap pelaksanaan itu dapat menarik lebih ramai masyarakat untuk kembali mendekati masjid, bukan sahaja untuk mengerjakan solat tetapi sebagai tempat rujukan bagi menuntut ilmu pengetahuan menerusi kemudahan WiFi yang disediakan.

"Harap anak-anak muda dapat memanfaatkannya sebaik mungkin, mungkin di sekolah tiada WiFi, bolehlah pergi ke masjid-masjid dan gunakan perkhidmatan ini secara percuma. Usaha WiFikan masjid ini bukan satu dua, tetapi semua masjid.

"Bagaimanapun, harap jangan ada gunakan perkhidmatan ini untuk perkara yang memudaratkan. Tok Kadi kena monitor. Jangan guna untuk (perkhidmatan penstriman) Netflix," katanya dalam kenyataan malam ini. 

Onn Hafiz berkata pemasangan talian WiFi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di 127 masjid dan 33 surau di negeri ini melibatkan kos RM470,404.80 meliputi kos sewaan selama 12 bulan, pemasangan serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau berkata sehingga Rabu lepas, sebahagian ahli kariah daripada 19 masjid dan surau telah mendapat manfaat tersebut apabila kerja pemasangan berjaya disiapkan. 

"Kita jangkakan 800 masjid dan surau di negeri ini bakal memperoleh kemudahan tersebut dalam tempoh lima tahun," katanya. 

Terdahulu, Onn Hafiz menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am, Simpang Renggam di Kluang dan melancarkan inisiatif WiFi masjid dan surau peringkat negeri. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan