AM

KERAJAAN TELITI CADANGAN WAJIB TAYANG UNTUK ANIMASI TEMPATAN DI SALURAN TELEVISYEN

17/04/2023 09:18 PM

CYBERJAYA, 17 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia meneliti keperluan untuk menetapkan kuota khas wajib tayang untuk syarikat televisyen tempatan menyiarkan animasi tempatan di saluran masing-masing.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara itu dilihat dapat membantu pengkarya tempatan bagi menonjolkan karya mereka di khalayak umun.

"Ini satu perkara yang saya secara dasarnya menyokong, saya rasa ada keperluan untuk kita meneliti kandungan digital yang dihasilkan dalam negara kita bukan hanya untuk kita jana atau terbitkan tapi kita tayangkan dan pamerkan.

Kalau dalam filem kita ada skim wajib tayang, mungkin bagi animasi dan beberapa perkara yang lain kita perlu pertimbangkan apa dasar yang bersesuaian bagi membantu hasil karya kandungan digital ini untuk menonjolkan karya mereka kepada khalayak umum, terutamanya di Malaysia," katanya kepada media selepas sesi Taklimat Umum Industri Kreatif Siri 2: Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif di sini hari ini.

Taklimat Umum anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu disertai hampir 400 peserta dan berlangsung lebih dua jam serta turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz.

Fahmi berkata kerajaan juga bersedia meneliti perkara yang boleh diusahakan untuk membantu para pengkarya mengeksport karya mereka.

"Kita perlu lihat apa yang kita boleh lakukan untuk eksport hasil karya-karya ini ke setidak-tidaknya rantau Asia Tenggara, (kerana) berbanding dengan ASEAN, Malaysia kita lihat ada 34 juta penduduk tapi ASEAN ada lebih 660 juta penduduk. 

"Jadi memang dari segi pasaran, peluangnya sangat banyak, maka kita akan teliti apa yang kita boleh lakukan untuk bantu mereka, bukan hanya dalam negara tapi untuk eksport karya mereka ke luar negara," katanya.

Pada masa sama, Fahmi berkata kerajaan juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak-pihak terlibat ekoran keluhan syarikat animasi tempatan yang mendakwa syarikat televisyen enggan membeli karya mereka kerana harganya yang tinggi.

"Ini isu ekonomi, saya perlu adakan sedikit perbincangan dengan lebih lanjut semua pihak terbabit untuk faham. Berbeza dengan karya produksi telefilem atau produksi lain, memang animasi tidak boleh kita tolak realiti bahawa ia lebih memakan sumber, ia perlukan sumber besar, dan sama ada stesen televisyen kita mampu atau tidak.  

"Mungkin di sini untuk tahun depan, mungkin kita boleh pertimbangkan apa yang boleh kita lalukan untuk mungkin beri sokongan tambahan kepada pengkarya-pengkarya seperti Les Copaque," katanya.

Terdahulu ketika sesi town hall berkenaan, pengasas Les' Copaque Production Burhanuddin Md Radzi mengutarakan keluhan mengenai dilema pengusaha animasi tempatan mengenai hasil karya yang tidak dapat disiarkan dalam stesen televisyen tempatan akibat pelbagai faktor dan membangkitkan keperluan memberikan keutamaan kepada produk tempatan bagi siaran televisyen.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan