AM

MINYAK MASAK: KERAJAAN PERLU LULUS KUOTA TAMBAHAN PASTIKAN BEKALAN MENCUKUPI

15/04/2023 10:52 AM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Kerajaan perlu meluluskan kuota tambahan minyak masak paket bersubsidi bagi tujuan operasi selain memastikan bekalannya mencukupi di pasaran, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam kenyataan hari ini, KPDN memaklumkan ia kerana terdapat syarikat pembungkus tidak dapat menggunakan kuota yang diagihkan sepenuhnya disebabkan keadaan tertentu seperti syarikat tidak beroperasi, penutupan kilang, kerosakan mesin atau digantung kuota akibat disyaki melakukan kesalahan.

“Kuota yang tidak digunakan akan dirasionalisasi untuk diagihkan kepada pengusaha lain bagi menampung kekurangan tersebut. Kuota tambahan ini tidak menyebabkan perbelanjaan melebihi had yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan tersebut sebagai maklum balas kepada laporan dua media tempatan berhubung dakwaan pegawai KPDN berbelanja lebih RM9 juta bagi tambahan kuota subsidi minyak masak pada tahun lepas, selain dakwaan terdapat pemotongan atau rasionalisasi dan kelulusan kuota yang diberikan kepada dua syarikat dengan alamat pendaftaran sama.

KPDN menjelaskan laporan media tersebut adalah tidak benar memandangkan perbelanjaan subsidi minyak masak adalah antara 88 peratus hingga 99 peratus daripada jumlah peruntukan kuota sebanyak 60,000 tan metrik sebulan.

Menurut KPDN walaupun di peringkat pengeluaran kuota mencapai 60,000 tan metrik sebulan, boleh wujud keadaan bekalan di peringkat runcit tidak mencukupi untuk kegunaan rakyat antaranya kerana rampasan minyak masak berdasarkan kes penyelewengan dan digunakan untuk Program Jualan Murah anjuran kerajaan.

“Kekurangan ini dibuktikan dengan peningkatan aduan daripada pengguna bahawa wujud kekurangan bekalan minyak masak paket di pasaran,” menurut kenyataan itu. 

Berhubung isu KPDN melaksanakan rasionalisasi kuota, menurut kenyataan itu ia merupakan proses biasa yang pernah dilaksanakan pada 2018 dan 2021, dengan mengambil kira isu semasa seperti berlaku ketidakcukupan bekalan di pasaran dan memastikan pengedaran yang efisien.

Bagi isu yang berkaitan kelulusan kuota diberikan kepada dua syarikat dengan alamat berdaftar yang sama, menurut KPDN semakan telah dibuat dengan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan didapati kedua-dua syarikat tersebut adalah dua syarikat yang berbeza dengan pemilik berlainan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan